Pemaju muflis, pembeli susah dapat pampasan

Pemaju muflis, pembeli susah dapat pampasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebanyakan projek terbengkalai disebabkan oleh pemaju muflis yang sekali gus menyukarkan pembeli mendapat pampasan.

Susulan itu, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong berkata, keutamaan bagi pembeli projek kategori sakit itu adalah untuk mendapatkan rumah mereka terlebih dahulu.

“Lawan pemaju itu patut menjadi isu kedua, yang penting rumah itu siap untuk kita duduki. Kalau mahu lawan untuk dapat pampasan, maka boleh teruskan dengan tribunal perumahan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan, sebanyak 65,529 unit rumah dikesan terbengkalai di Semenanjung sekali gus merugikan pembeli yang terpaksa membayar pinjaman kepada bank.

Daripada 65,529 unit, sebanyak 32,081 sudah dibeli tetapi malangnya tidak dapat didiami kerana projek-projek itu termasuk dalam kategori projek sakit.

Jika mengambil kira seunit rumah harga RM150,000 hingga RM200,000, maka keseluruhan kediaman daripada 453 projek swasta itu mencecah RM10.4 bilion hingga RM14 bilion.

Kebanyakan projek sakit itu membabitkan projek berstatus landed iaitu sebanyak 317 projek dan selebihnya projek berstatus strata highrise dan strata landed.

Mengulas lanjut, Kim Loong berkata, pembeli projek perumahan sakit juga boleh membuat aduan rasmi kepada Jabatan Perumahan Negara.

Beliau berkata, ia bagi memudahkan pasukan petugas khas berkaitan isu ini untuk menyiasat dan mencari penyelesaian.

“Sekarang Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah tubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengendalikan semua projek sakit, lewat dan terbengkalai.

“Pasukan petugas khas ini dipengerusikan Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan dianggotai oleh wakil-wakil jabatan kementerian termasuk bahagian aduan dan penguatkuasaan.

“Oleh itu mereka ini akan bantu buat siasatan mengapa projek berkenaan terbengkalai sama ada pemaju jual tidak cukup, ada isu dengan syarikat (membekalkan) utiliti atau kadangkala kerana buat bangunan tidak mengikut spesifikasi yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Jadi ada banyak ciri, maka sebab itu pasukan petugas khas itu akan melihat mengapa projek tersebut terbengkalai,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×