PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mengambil tindakan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan isu penyelewengan diesel subsidi nelayan sehingga mengakibatkan kerugian kepada negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi membanteras isu ketirisan barang bersubsidi termasuk minyak diesel.
“Walau bagaimanapun, isu ini di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Jika ada maklumat dan laporan, pihak polis atau di bawah KDNKA sedia melakukan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengikut rekod PDRM, sebanyak 375 kes rampasan minyak diesel membabitkan 4.7 juta liter diesel dengan jumlah dianggarkan bernilai RM12.1 juta bagi tahun lalu.
Selain itu, sebanyak 108 kes dicatatkan dengan rampasan kira-kira 1.4 juta liter diesel berjumlah RM12.6 juta bermula Januari hingga April lalu.
Utusan Malaysia semalam melaporkan terdapat lima taktik penyelewengan diesel subsidi nelayan antaranya kelemahan prosedur operasi standard (SOP) Pusat Jualan Diesel (PJD) sehingga dituntut oleh pihak tidak layak serta tiada pegawai agensi yang memantau agihan diesel di jeti.
Selain itu, kegiatan rasuah dan gangsterism membabitkan jualan diesel bersubsidi daripada PJD kepada sindiket serta berlaku komplot tauke bot kategori C yang menjual diesel kepada C2 dan nelayan asing di laut.
Turut berlaku penyelewengan di PJD menjual diesel kepada lori tangki yang kemudian dijual ke pengusaha swasta.
Sementara itu, sumber penguat kuasa berkata, tiada pemantauan secara terperinci oleh pihak yang diberi tanggungjawab untuk mengawal selia dalam agihan subsidi diesel kepada nelayan.
Bagaimanapun, katanya, pihak yang dipertanggungjawabkan perlu melaporkan kepada agensi berkaitan jika berlaku seperti yang didakwa termasuk wujud kegiatan gangsterism.
“LKIM diberi tanggungjawab untuk mengawal selia agihan subsidi namun tiada pemantauan dilakukan di jeti dan pusat kawalan pengisian tersebut sehinggakan aktiviti penyelewengan mudah berlaku oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, penguatkuasaan masih di bawah KPDN malah sebelum ini pernah tangkapan dilakukan agensi tersebut berhubung isu ini selain pelbagai operasi dijalankan melalui Op Tiris,” katanya.
April lalu, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd. Yusof dilaporkan berkata, Op Tiris yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama beberapa agensi lain berjaya menyelamatkan 1.4 juta liter diesel subsidi bernilai RM3.025 juta daripada penyelewengan.
Katanya, sebanyak 3,654 premis dan sebanyak 95 kes dihasilkan KPDN dalam tempoh 1 Mac hingga 4 April lalu.
Op Tiris dilancarkan 1 Mac hingga 31 Ogos 2023 membabitkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain bagi menggerakkan arahan pemeriksaan dan operasi secara bersama ke atas barang kawalan berjadual bersubsidi jenis minyak diesel.
Ini berikutan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ketirisan diesel bernilai hampir RM10 bilion. – UTUSAN










