PETALING JAYA: PASRelief akan mengadakan program korban dan aqiqah menjelang Aidiladha khusus di semua negara bergolak dan negara yang ditimpa musibah.
PASRelief dalam satu kenyataan berkata, program yang telah dilaksanakan sejak 2017 sehingga hari ini diteruskan bagi membantu golongan yang tertindas, pelarian dan mangsa peperangan serta mereka yang terkesan akibat bencana alam.
Katanya, beberapa negara yang terkesan telah dipilih setakat ini dengan melibatkan hampir 10 buah negara.
“Negara dan wilayah umat Islam yang sedang bergolak telah dipilih untuk dijalankan ibadah korban antaranya Palestin, Yaman, Afrika (Sudan dan Kenya), Mindanao, Kashmir, Palu, pelarian Syria di Lubnan dan juga pelarian Rohingya di Arakan, Myanmar serta Cox’s Bazar, Bangladesh.
“Kesukaran dan kesusahan yang dihadapi mereka di kawasan tersebut telah menyebabkan ada di antara mereka yang tidak dapat menikmati daging sepanjang tahun,” katanya kelmarin.
Dalam pada itu, PASRelief berkata, pihaknya turut menghantar delegasi ke negara-negara terbabit untuk membantu melancarkan segala program ibadah korban yang dijalankan.
“Sebagai tanda prihatin dan tanggungjawab, PASRelief mengambil peranan untuk menggerakkan program korban PASRelief 2023 dan mengalu-alukan sumbangan serta kerjasama dengan rakan NGO atau agensi korporat bagi menjayakan agenda besar ini,” jelasnya.
Bagi mereka yang berminat untuk mengerjakan ibadah korban dalam Program Korban PASRelief 2023, boleh membuat penyertaan melalui https://pasrelief.org/permohonan-qurban-aqiqah-2023. – UTUSAN