WAHID SATAY satu nama yang cukup besar dalam dunia perfileman Melayu. Banyak membintangi filem-filem bercorak lawak jenaka sehingga digelar ‘Jerry Lewis Malaya’ membuatkan karakternya sangat melekat dalam ingatan penggemar filem tempatan.
Berkongsi pengalaman dengan pemilik nama lengkap Abdul Wahid Ahmad, 93, pengarah dan penerbit filem, Aziz M. Osman berkata, dia berasa sungguh bertuah walaupun hanya dapat bekerjasama dengan arwah menerusi filem Senario XX, pada 2005.
Katanya, arwah disifatkan sebagai pelakon yang sangat berdisiplin tinggi.
“Pak Wahid adalah pelakon yang sangat menjaga jadual kerja dan mematuhi ketepatan masa. Saya cukup kagum dengan disiplin arwah ketika di set penggambaran.
“Walaupun babak lakonannya belum tiba, Pak Wahid akan masuk set lebih awal dan duduk bersedia dengan memastikan dialog sudah dihafal. Sikap seperti ini perlu dicontohi pelakon sekarang,” katanya.
Sebagai pelakon yang sangat berpengalaman jauh berbanding dirinya, Aziz berkata, dia kagum dengan sikap hormat yang dipamerkan arwah.
“Ikutkan saya ini sangat junior berbanding Pak Wahid ketika itu. Namun, dia tetap menghormati saya sebagai pengarah.
“Dia akan panggil saya ‘tuan pengarah’ ketika bekerja di set penggambaran. Saya rasa cukup bertuah dapat bekerjasama dengan artis veteran sepertinya,” katanya.
Walaupun berbeza umur hampir tiga dekad, Aziz berkata, dia juga mempunyai pengalaman peribadi kerana arwah merupakan sahabat baik bapanya, M. Osman.
Ketika itu, dirinya membesar di sebuah rumah kampung di Jalan Eunos, Kaki Bukit, Singapura.
“Arwah selalu datang rumah menunggang motor vespa. Masa itu saya masih kecil lagi sekitar zaman awal 70an.
“Selain bintang filem, arwah ialah penyanyi pop yeh yeh yang menggunakan nama pentas A. Wahid. Kalau filem, arwah akan guna nama Wahid Satay,” jelasnya.
Aziz berkata, Gila Talak arahan Hussein Haniff yang diterbitkan di Singapura pada 1963 adalah filem semi muzikal lakonan arwah yang paling diminatinya sehingga sekarang.
Antara filem lakonan seniman legenda yang berasal dari Singapura ini adalah seperti Pak Pandir Moden, Jula Juli Bintang Tiga, Serangan Orang Minyak dan Senario XX yang merupakan filem terakhir lakonannya.
TINGGAL KENANGAN
Wahid Satay menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Singapura, pukul 8.30 pagi, semalam, akibat komplikasi kencing manis dan penyakit jantung.
Arwah yang lahir pada 1 Januari 1930 di Indragiri, Riau, Indonesia, sebelum berpindah ke Singapura pada 1935, dikebumikan di Pusara Aman, Singapura, semalam.
Filem Pontianak adalah naskhah pertama yang dibintanginya pada 1957. Banyak memegang watak pembantu, Wahid Satay mula diberikan kepercayaan menggalas watak utama dalam filem Pak Pandir Moden dan Che Mamat Parang Tumpul (1960).
Filem-filem lain yang dibintangi arwah adalah Serangan Orang Minyak (1958), Rasa Sayang Eh (1959), Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Puteri Gunong Ledang (1961), Chelorong & Badang (1962), Mabuk Kepayang (1962), Pontianak Gua Musang (1964) dan Tiga Botak (1965).
Gelaran Wahid Satay diberikan mendiang Loke Wan Tho, pemilik Pertubuhan Cathay dan digunakan sejak beliau berlakon dalam filem Pontianak bersama Maria Menado.
Naskhah tersebut bertahan selama tiga bulan di Panggung Cathay dan memberikan saingan kepada filem Hollywood, Samson and Delilah.
Beliau pernah dihantar oleh Cathay-Keris Film Productions bersama seniman Rose Yatimah, Latifah Omar dan pengarah, Hussein Haniff ke Pesta Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun, 1963.