Terlantar sakit tiada keluarga, wang

Nelayan terlantar sakit tiada keluarga, wang

IBRAHIM Awang Kechik (kanan) ketika disantuni Ridzuan Husin di rumahnya di Kampung Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang nelayan di Kampung Cherang Ruku, di sini, amat memerlukan bantuan ihsan bagi meneruskan kehidupan selepas lebih lima bulan terlantar sakit akibat serangan angin ahmar.

Ibrahim Awang Kecik, 58, berkata dia hilang sumber pendapatan selepas gagal berjalan sejak Disember tahun lalu memaksanya mengikat perut dan sering berlapar sementara menunggu ihsan orang ramai.

Menurutnya, pengurusan harian termasuk makan dan mi­numnya sering diuruskan bekas besannya, Ridzuan Husin, 60, memandangkan anak-anak jarang datang menjenguk dan bertanya khabar.

“Sedih bukan hanya tiada wang untuk membeli makanan tetapi sepi apabila sepanjang Ramadan dan hari raya Aidilfitri saya terlantar di tilam tanpa kehadiran anak-anak.

“Isteri pertama telah berpisah (bercerai) manakala isteri kedua telah meninggal dunia. Saya sudah hilang tempat bergantung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kg Cherang Ruku, di sini, semalam.

Ibrahim berkata, dia gagal mendapatkan rawatan susulan kerana sukar untuk ke klinik atau hospital berdekatan apabila tiada orang yang sudi membantu.

Sementara itu, bekas besannya, Ridzuan ketika ditemui berkata, bekalan minuman dan makanan terpaksa disediakan setiap hari sejak Ibrahim keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, sejak lima bulan lalu.

“Perbelanjaan hariannya men­cecah RM15 sehari. Terkini bil eletrik dan air sudah tertunggak. Saya sudah tidak mampu membantu memandangkan saya pun kerja kampung,” katanya.

Menurut Ridzuan, permohonan untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diusahakan menerusi pemimpin setempat sejak tiga bulan lalu dengan harapan mendapat kelulusan pihak berkenaan yang akan meringankan bebanan Ibrahim.

Mereka yang ingin menyumbang sedikit sumber kewangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 03-090-02-032075-5 atas nama Ridzuan Hussin.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya