MRA serah bantuan RM1.2 juta kepada Turkiye-Syria

MRA serah bantuan RM1.2 juta kepada Turkiye-Syria

SUKARELAWAN perubatan MRA bersama kanak-kanak di Jindares, Syria., baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysian Relief Agency (MRA) sudah menyalurkan bantuan rakyat Malaysia berjumlah RM1.2 juta kepada 642,000 individu di Turkiye dan Syria yang terkesan akibat bencana setakat 30 April lalu.

Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria berukuran 7.8 pada skala magnitud pada Februari 2023 mengorbankan hampir 60,000 nyawa selain kemusnahan harta benda awam dan menyebabkan 1.5 juta penduduk kehilangan tempat kediaman.

Katanya, dalam masa sama pihaknya telah membuka sebuah pejabat satelit MRA di Gaziantep sejak beberapa bulan lepas untuk memastikan koordinasi bantuan kecemasan dapat disampaikan dengan berkesan.

“Di antara sumbangan yang disampaikan adalah bakul makanan, kit kebersihan, barangan dan susu bayi, sumbangan khemah, alatan pemanas, pakaian musim sejuk dan makanan bermasak,” katanya satu kenyataan hari ini.

Selain itu beliau berkata, MRA menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dan kesihatan percuma melalui klinik bergerak dan klinik statik di khemah-khemah penempatan kepada hampir 2,000 keluarga dengan menggunakan khidmat doktor dan paramedik terlatih. 

“MRA juga telah menghantar doktor pakar, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat dari Malaysia untuk bersama-sama membantu merawat pesakit di sana,” tambah beliau.

Sementara itu, Dr. Mohd Daud memberitahu, MRA turut membaik pulih tiga kilang roti yang rosak akibat gempa bumi di daerah Jenderis, Syria. 

“Ketiga-tiga kilang ini menghasilkan 15,000 keping roti setiap hari dan diedarkan bagi menampung keperluan 60,000 keluarga yang memerlukan di sana,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, MRA juga akan meneruskan kerjasama dengan syarikat perkapalan Northport untuk menghantar tiga kontena barangan keperluan seperti makanan, barangan bayi, alatan perubatan dan pakaian untuk dihantar ke Syria melalui jalan laut dari Malaysia ke pelabuhan di Turkiye.

Menurutnya, bagi meneruskan bantuan MRA di bumi Turkiye-Syria, MRA melancarkan projek Baitul Syukur dan menyasarkan sejumlah RM3 juta untuk keseluruhan projek ini.

“Projek ini adalah pembinaan rumah penempatan jangka panjang berharga RM13,500 sebuah yang akan memanfaatkan lebih 220 buah keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal dan masih tinggal di dalam khemah sementara yang begitu daif,” katanya.

Sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank di atas nama Malaysian Relief Agency Berhad di nombor akaun 5640-9820-8020 atau hubungi 03-91744672 untuk pertanyaan lanjut. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya