KUALA LUMPUR: Elemen rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap jaminan keselamatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, unit MPV telah menjalankan sebanyak 872,283 pemeriksaan kenderaan selain mengeluarkan sejumlah 76,768 saman bagi tempoh Januari hingga April lalu.
Katanya, unit MPV juga telah melaksanakan sebanyak 1,651 tangkapan membabitkan 770 tangkapan kes jenayah, narkotik (777) dan lain-lain (104).
“Dalam pada itu, URB juga turut melaksanakan sebanyak 154,887 aktiviti ‘Stop and Talk’ serta ‘Meet and Greet’ sebagai usaha mendekatkan lagi PDRM dengan masyarakat.
“Kehadiran elemen-elemen rondaan di Bahagian Operasi Darat JPJKK yang mencakupi MPV dan URB di kawasan-kawasan kediaman, komersial dan juga perindustrian ternyata telah berjaya meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap jaminan keselamatan diri dan harta benda termasuklah ketika musim perayaan yang lalu,” katanya ketika ucapan Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara 2023 di Bukit Aman hari ini.
Acryl Sani berkata, pihaknya sedia maklum bahawa untuk mencapai kadar sifar jenayah bagi sesebuah negara adalah sesuatu yang mustahil.
Namun, ujarnya, ini tidak bererti polis tidak meneruskan usaha-usaha menyediakan langkah pencegahan yang berterusan dan berstrategi bagi mengurangkan kejadian jenayah daripada terus berleluasa.
“Untuk itu, kita semua percaya JPJKK di bawah kepemimpinan Datuk Aidi Ismail akan terus melaksanakan pelbagai strategi bagi memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Dalam majlis itu, Acryl Sani berbesar hati menyampaikan sijil penghargaan Ketua Polis Negara kepada 37 warga Pasukan terdiri daripada pegawai-pegawai polis dan pegawai-pegawai awam dari pelbagai jabatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing.
“Saya juga melahirkan rasa bangga untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada dua anggota MPV Kontinjen Kelantan atas kejayaan merampas dadah bernilai RM9.5 juta semasa bertugas menjalankan rondaan.
“Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada dua anggota MPV Kontinjen Kuala Lumpur yang telah berjaya merampas senjata tiruan membabitkan 25 laras rifle, dua pucuk pistol dan 480 butir peluru plastik bernilai RM318,00,” jelasnya. – UTUSAN