PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) beranggapan melakukan aktiviti pertanian atas tanah pertanian bukan satu kesalahan apatah lagi di atas tanah kosong milik persendirian.
Sehubungan itu, Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, pihaknya perlu menentukan pemilik tanah yang diusahakan sebagai kebun sayur di Pulau Meranti, Puchong sebelum boleh bertindak.

Katanya, beliau juga tidak pasti sama ada ada aduan dibuat terhadap perkara itu kerana kawasan berkenaan berada di luar kawasan perkhidmatan MPSepang.
“Pihak MPSepang bersama pentadbir tanah Sepang akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik tanah untuk diberi notis sekiranya melanggar apa-apa peraturan atau undang-undang yang berkaitan.
“Perkara ini juga akan dilaporkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengambil tindakan ke atas PATI (pendatang asing tanpa izin) sekiranya didapati ada penempatan di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Pulau Meranti kini menjadi lokasi tumpuan pendatang asing dengan menyasarkan kawasan sekitar grid elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membina penempatan dan melakukan aktiviti menanam sayur secara komersial. – UTUSAN










