PETALING JAYA: Menteri-menteri UMNO akan membangkitkan isu kalimah Allah untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jemaat Menteri esok.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, UMNO akan kekal terus berjuang menegak dan mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Jelas beliau, isu penggunaan kalimah Allah hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat kerana melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum di Malaysia.
“Dalam hal ini, penelitian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu ini secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.
“Penyelesaian yang menyeluruh perlu dibincang dan dicapai, termasuk pendekatan perundangan yang kukuh yang merangkumi rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan selain pendekatan bukan perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain Azalina, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir merupakan lima menteri UMNO.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.
Sebaliknya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, pihaknya tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.
Beliau berkata, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah. – UTUSAN