KULIM: Seorang pemilik kedai peralatan perkakasan meninggal dunia dipercayai akibat disengat tebuan dalam kejadian di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.35 petang itu,mangsa, Muhammad Sazwan Marzuki, 28, mengadu bahagian kepalanya sakit akibat disengat serangga terbabit.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, serangan tebuan disyaki berlaku semasa mangsa mengendalikan jentera jengkaut yang lama tidak digunakan di mana terdapat sarang tebuan tanah di jentera tersebut.
Katanya, pada awal kejadian abang mangsa bersama seorang rakan membawa mangsa ke sebuah klinik swasta di Taman Jaya, Padang Serai untuk rawatan awal.
“Namun pihak klinik meminta abang mangsa untuk segera membawa mangsa ke wad kecemasan Hospital Kulim.
“Mangsa diberikan rawatan di zon merah bahagian kecemasan tetapi doktor yang merawat kemudianya mengesahkan yang mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Redzuan berkata, anggota Balai Polis Padang Serai turut menjalankan siasatan bagi memastikan kematian mangsa bukan disebabkan kejadian jenayah.
“Proses bedah siasat telah dijalankan pada pukul 10.45 pagi hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar namun punca kematian belum diperolehi,” katanya. –UTUSAN









