KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri yang terlibat harus diterima secara positif khususnya buat UMNO.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana tempoh masa yang ada antara Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan PRN amat dekat.
Malah, ia memerlukan masa untuk memberi penjelasan kepada rakyat berhubung perubahan politik yang berlaku pada hari ini.
“Memang singkat, sebab itu kita kena cakap banyak kali bahawa ini bukan sahaja pilihan yang terbaik untuk UMNO buat masa ini, untuk survival UMNO dan BN. Saya faham, bukan senang nak yakinkan rakyat, sebab itu kita memerlukan masa sedikit, sebab itu Konvensyen Perpaduan itu penting dan tidak boleh terhenti begitu sahaja, ia perlu bergerak di peringkat akar umbi.
“Kalau tidak, konsep ini tidak akan berjaya. Dan apa pun keputusan PRN, UMNO harus terima, namun, apa yang penting kepada saya adalah keputusan PRU-16,” katanya ketika ditemui semalam.
Memahami kesukaran dalam memberi penerangan kepada akar umbi mengenai dinamika politik kini, Abdul Rahman turut mengakui antara salah satu faktornya adalah bekerjasama dengan DAP.
Namun, jelasnya, ia adalah keputusan terbaik buat UMNO bagi mengekalkan survival politik sehingga PRU-16 nanti.
“Kita tak boleh katakan lagi DAP parti serpihan, dia sudah menguasai 90 peratus penyokong Cina, suka atau tidak kita kena mengakui kedudukan tersebut,” ujarnya yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.
“Kalau UMNO dapat banyak kerusi, kita ada peluang untuk menerajui dan mendapatkan kembali jawatan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui semalam.
Namun begitu, akhbar ini pada semalam turut melaporkan ‘hubungan rapat’ DAP dengan BN khususnya UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan menjejaskan peluang dan sokongan parti khususnya dalam menarik pengundi muda serta kaum Cina dalam PRN pada Jun ini.
Sebaliknya, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, parti itu menganggap pembentukan Kerajaan Persekutuan melalui gabungan parti-parti politik meskipun pernah berseteru sebelum ini, memberi petunjuk bahawa pengundi akan menyokong sesiapa sahaja tanpa perlu menjejaskan sokongan parti lain dalam kerajaan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman turut berkata, BN mampu memperoleh semula jawatan Perdana Menteri sekiranya memperoleh kerusi banyak pada PRU-16 nanti.
Namun jelasnya dengan syarat. parti itu harus memperbetulkan permasalahan dalaman sehingga menyebabkan perpecahan.
“Sokong kerajaan perpaduan bukan bermakna tidak boleh menjadi Perdana Menteri, kita tidak boleh menjadi Perdana Menteri hanya kerana kita kurang kerusi. Jadi, untuk menambahkan balik bilangan kerusi, UMNO harus menawan kembali hati-hati orang Melayu khususnya dan jawatan Perdana Menteri itu akan datang daripada parti yang banyak kerusi.
“UMNO ada peluang untuk menang banyak kerusi pada PRU-16 ini dan boleh sahaja memegang jawatan Perdana Menteri dengan gabungan yang pada hari ini,” ujarnya. – UTUSAN











