PETALING JAYA: Segelintir mangsa penderaan keluarga kandung berpotensi membesar menjadi seorang pendera sekiranya rawatan emosi dan sokongan moral tidak dilakukan serta diberikan segera.
Pakar Psikologi, Prof Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, mangsa penderaan akan mengalami kegelisahan (anxiety) dan depresi memandangkan diri mereka menghadapi trauma diperlakukan begitu.
Menurut beliau, keadaan tersebut menyebabkan mangsa sentiasa berada dalam keadaan bimbang, takut, cemas dan tidak tenang apabila berhadapan dengan individu dewasa yang berada di sekitar mereka.
“Pelbagai perasaan ini jika tidak dirawat boleh membawa kepada keadaan stress seseorang itu yang akhirnya jika tidak disokong secara moral dan sosial boleh menyebabkan depresi. Malah ada kajian menunjukkan segelintir mangsa dera ini akan mempunyai sifat dendam serta marah.
“Jadi tidak hairan jika terdapat mangsa dera yang akhirnya menjadi seorang pendera di suatu ketika apabila rangsangan dipersekitaran mereka boleh mencetuskan gerak balas yang sama iaitu mendera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini mendedahkan, kes penderaan kanak-kanak hingga maut terus berlaku dengan ibu kandung menjadi pelaku tertinggi daripada 220 kes yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2018.
Dalam tempoh tersebut, Selangor merekodkan kes tertinggi iaitu 91 kes diikuti masing-masing 23 kes di Kuala Lumpur dan Johor selain Negeri Sembilan (18 kes) manakala Perak (14 kes) dan bakinya di lain-lain negeri.
Turut dilaporkan bahawa panas baran, cepat marah dan emosi tidak terkawal selain berada di bawah pengaruh dadah antara punca kes penderaan kanak-kanak, dengan ibu kandung menjadi pelaku tertinggi bagi tempoh lima tahun sejak 2018 hingga tahun lalu.
Mengulas mengenai statistik tersebut, Mariani berpendapat ia jelas menunjukkan geolokasi menjadi salah satu faktornya iaitu seorang ibu di kawasan bandar khususnya menghadapi pelbagai tanggungjawab selain dari mendidik anak-anak.
“Mereka juga harus menggembleng tenaga bersama suami untuk mencari nafkah menyara hidup dalam persekitaran yang menuntut aspek materialistik. Dengan tugasan di pejabat saban hari tidak pernah habis.
“Apabila pulang ke rumah pula menuntut tanggungjawab sebagai ibu dan isteri menghadapi karenah keluarga dirumah. Jika keadaan kurang baik banyak tekanan akan timbul serta tekanan semakin bertambah tanpa ada jalan penyelesaian
“Ini mampu membuatkan para ibu hilang arah tuju, cemas, bimbang, marah dan akhirnya stress. Kemudiannya, melampiaskan amarah pada anak iaitu merupakan golongan yang mudah menjadi mangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, sistem sokongan sosial dalam keluarga amat penting dalam memastikan penderaan dapat dielakkan dan dikurangkan. – UTUSAN










