PETALING JAYA: Mahasiswa universiti merayu kerajaan segera menyalurkan bantuan RM200 e-dompet kepada mereka seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 April lalu.
Menurut mereka, bantuan tersebut dapat membantu meringankan beban dan berhadapan kos sara hidup yang turut meningkat di kampus.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM), Afirul Idris Ayub Khan berkata, inisiatif itu disambut baik oleh mahasiswa dan berharap ia dapat disegerakan.
Katanya, mahasiswa memohon kerajaan dapat mempercepatkan inisiatif e-dompet itu untuk dimanfaatkan oleh pelajar.
“Kehidupan sebagai mahasiswa sangat mencabar kerana terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dari segi kewangan, kesihatan mental dan kebolehpasaran graduan. Inisiatif itu sedikit sebanyak dapat membantu pelajar dari segi kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Dalam sesi dialog Perdana Menteri bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia April lalu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju memperluaskan bantuan tunai e-dompet kepada semua mahasiswa tanpa menetapkan had umur berbanding 18 hingga 20 tahun seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2023.
Sementara itu, YDP MPP UiTM, Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif tersebut dan perlu disegerakan pembayarannya.
“Dengan ada inisiatif ini, ia membantu mahasiswa dalam mendepani cabaran kehidupan di universiti masing-masing,” katanya.
Kata Yusuf, pemberian itu perlu disegerakan kerana sesi pembelajaran kini sudah memasuki pertengahan semester.
“Secara tidak langsung, ia memberi suntikan moral untuk kami terus cemerlang dalam pelajaran. Jadi, kami mohon jasa baik pihak kerajaan melaksanakannya segera,” katanya.
Menurutnya, peningkatan kos sara hidup tidak dapat dinafikan dari tahun ke tahun, tetapi itulah cabaran kepada mahasiswa.
“Mereka perlu kuasai dua perkara iaitu pengurusan masa dan pengurusan kewangan. Ini semua adalah proses pembelajaran dan pematangan mahasiswa supaya menjadi lebih kental dalam menjalani kehidupan.
“Saya yakin inisiatif ini sebenarnya membuktikan kerajaan pada hari ini adalah ‘mesra mahasiswa’ serta memastikan kebajikan kami semua terjamin,” katanya.- UTUSAN










