Lebih 100 warga Malaysia di New Zealand ‘beraya’ dengan Zambry

Lebih 100 warga Malaysia di New Zealand ‘beraya’ dengan Zambry

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) ketika menyantuni sebahagian diaspora Malaysia pada sesi ramah mesra di Wellington, New Zealand. - GAMBAR IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkesempatan meraikan lebaran dengan lebih 100 warga Malaysia setibanya beliau ke New Zealand semalam.

Menerusi hantaran dalam akaun sosialnya, beliau berkata, sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia itu diadakan bersempena lawatan kerja julungnya ke negara tersebut.

Majlis yang agak sederhana namun berlangsung meriah itu ujar beliau, bertujuan untuk mengeratkan jalinan persaudaraan sesama rakyat dan meraikan Hari Raya Aidilfitri.

“Ia dihadiri rakyat Malaysia termasuk pelajar dan komuniti perniagaan. Saya percaya sesi seperti ini menguatkan ukhuwah walaupun mereka ada jauh di perantauan,” nukilnya.

Zambry mengadakan lawatan kerja pertama selama tiga hari ke New Zealand dengan dijadualkan bertemu rakan sejawatnya, Nanaia Cybelle Mahuta di ibu kota Wellington dengan diberikan upacara sambutan tradisional rasmi disebut sebagai Mihi Whakatau.

Kedua-dua menteri luar itu membincangkan status kerjasama dan hubungan dua hala sedia ada selain bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan sejagat.

Mereka juga menyaksikan pemeteraian dokumen Rakan Kerjasama Strategik antara pihak Wisma Putra dengan Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand.

Uniknya, Mahuta pernah melakukan lawatan kerja ke Malaysia awal Ogos 2022 lalu sejak menjadi wanita yang pertama dilantik sebagai menteri luar negara itu pada akhir 2020.

Beliau juga terkenal apabila muncul ahli Parlimen pertama di New Zealand tampil mencacah tatu unik tradisi lambang tertinggi etnik pribumi Maori iaitu ‘moko kauae’ di wajahnya.

Bahkan, beliau juga orang asli pertama di negara itu yang menyandang jawatan menteri luar selain pernah mengisi pelbagai portfolio lain termasuk Menteri Pembangunan Maori.

Lawatan Zambry itu mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia-New Zealand yang telah lama terjalin dan meningkatkan perkongsian strategik kepada peringkat lebih tinggi.

New Zealand kekal sebagai rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik dengan nilai dagangan tahun lalu ialah RM11.3 bilion, naik 49.6 peratus daripada 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.