KUALA LUMPUR: Slogan ‘lawan tetap lawan’ yang sering dilaungkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan penyokongnya kini berubah menjadi ‘lawan sampai jadi kawan’.
Slogan tersebut dilaungkan oleh Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Siew Fook yang buat pertama kalinya muncul di pentas dalam bangunan yang menjadi tempat keramat ahli UMNO berkumpul.
“Dulu lawan kini kawan, lawan sampai jadi kawan. Tak kira kawan atau lawan, yang penting Malaysia aman,” katanya semasa menyampaikan ucapan sebagai pimpinan utama dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023.
Katanya, beliau sendiri turut berasa gugup apabila memberi ucapan di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
“Semasa saya menceburi politik dan menyertai parti saya, tidak pernah terlintas satu hari nanti saya akan berdiri berucap di sini. Saya rasa tiada siapa dalam DAP pernah terlintas dalam fikiran mereka termasuk
Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Damansara).
“Biasanya saya tidak perlukan nota tetapi hari ini memerlukannya. Saya tidak ada pengalaman dalam pentas ini, ia pengalaman baharu,” katanya.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata, keputusan yang diambil oleh semua pimpinan parti di dalam Kerajaan Perpaduan berpandukan satu prinsip utama dalam Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.
“Jelas semua dalam Dewan Merdeka ini mendukung prinsip Rukun Negara, setia pada raja dan negara. Sebelah sana saya tak tahulah,” katanya.
Tambahnya, hasrat Kerajaan Perpaduan adalah mengembalikan kestabilan politik, mempertahankan kepelbagaian dan kemajmukan dalam negara serta menjalinkan kerjasama antara kaum, agama dan wilayah.
“Ada pihak mengatakan apabila melibatkan DAP dalam kerajaan maka kerajaan didominasi oleh DAP. Biar fakta berbicara, kerajaan hari ini didukung oleh 148 ahli Parlimen.
“Daripada jumlah tersebut, 77 ahli Parlimen adalah bumiputera yang beragama Islam, 16 bumiputera bukan Islam, 43 Cina dan 12 India serta lain-lain. Maksudnya, majoriti dalam Kerajaan Perpaduan masih didukung oleh ahli Parlimen yang beragama Islam dan bumiputera,” jelasnya. – UTUSAN










