SEGAMAT: Beberapa penduduk kampung sempat melaungkan azan sewaktu ribut melanda Kampung Melayu Raya di sini, sebelum bencana alam itu reda petang semalam.
Ketua Kampung Melayu Raya, Ahmad Jais Abd. Hamid, 52, berkata, kejadian ribut di kampung berkenaan menyebabkan lima bumbung kediaman penduduk terjejas.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang dan awan mulai berarak mendung dan gelap.
“Hujan lebat turun disertai angin kencang. Beberapa penduduk melaungkan azan bersahutan sebelum ribut reda dengan serta-merta dan ajaibnya mendung hitam turut ghaib dari pandangan.
“Terdapat juga empat premis kedai dan sebuah surau terjejas akibat ribut tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Melayu Raya, di sini semalam.
Seorang penduduk, Kamal Sairi, 58, berkata, ketika kejadian dia sempat bergegas melihat kedai kakaknya, Fatimah Sairi, 60-an, sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat apabila atap bahagian tepi premis kedai bergegar.
“Sebaik sahaja hujan, saya teringatkan kakak saya di kedai dan tidak berfikir panjang terus sahaja keluar rumah dan pergi ke kedainya.
“Walaupun keadaan hujan dan angin kuat itu menakutkan, saya lebih bimbangkan keselamatan kakak saya di kedai.
“Setibanya di kedai, secara tiba-tiba angin kencang dan menerbangkan bumbung ruang hadapan dan belakang premis kedai,” katanya menceritakan kejadian.
Sementara itu, seorang mangsa ribut, Siti Fatimah Salleh, 69, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak dan terkejut apabila hujan lebat dan angin kencang tiba-tiba mengangkat bumbung dapur.
Katanya, dia terpaksa lari apabila hujan mencurah-curah masuk ke dapur namun bersyukur tidak terjatuh walaupun terpijak lantai licin.
Kesan daripada kejadian tersebut, penduduk kampung masih menunggu pihak berwajib menghulurkan bantuan bagi menjalankan kerja pembaikan bumbung dan kerosakan lain. – UTUSAN











