KPM telus, adil siasat aduan rasmi gejala sosial pelajar - Utusan Malaysia

KPM telus, adil siasat aduan rasmi gejala sosial pelajar

FADHLINA Sidek (tengah) ketika merasmikan Karnival Madani di Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Saluran aduan rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) harus digunakan sebaiknya bagi membolehkan setiap laporan yang diterima dapat disiasat secara adil dan saksama.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memiliki ruang dan proses tersendiri bagi setiap aduan yang dikemukakan sama ada membabitkan isu buli mahupun gejala sosial lain.

Jelasnya, beliau mengakui kebimbangan ibu bapa dan masyarakat susulan kejadian buli dan masalah sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar sejak kebelakangan ini, namun tetap positif ia dapat diselesaikan menggunakan saluran tepat.

“Saya fikir kita tak pernah terlambat untuk buat apa-apa tindakan atau intervensi khususnya yang terkait rapat dengan pemulihan dan nasihat yang betul bagi memastikan mereka kembali kepada ABC (Anak yang Baik Lagi Cerdik).

“Dalam konteks ini, saluran KPM rasmi harus digunakan sebaik-baiknya dan seluasnya supaya kita boleh rekodkan aduan untuk tindakan susulan berkaitan intervensi dan pemulihan.

“Selain itu, sokongan daripada seluruh ekosistem komuniti termasuk ibu bapa dan ahli masyarakat amat diperlukan dan tidak semata-mata menghukum anak-anak ini kerana mereka masih muda, malah perlu bersama pastikan mereka didokong dan didorong untuk menjadi anak lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung beberapa isu buli dan gejala sosial melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen. Nibong Tebal merasmikan Karnival Kita Madani Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Sungai Duri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kes buli, namun proses siasatan harus dihormati semua pihak.

“Proses siasatan ini harus telus, ini negara hukum dan kita mesti sabar dengan proses siasatan, sebab ramai asyik tanya bila nak selesai, bila nak ambil tindakan?

“Semua pihak kena bagi laporan siasatan yang adil, dan hukuman ini bergantung pada tahap ‘severity‘ (keterukan) kes buli ini.

“Yang mana salah tetap salah dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, akhbar pada pertengahan bulan ini melaporkan, polis menahan sembilan remaja bagi membantu siasatan kes buli yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah menengah di Butterworth dekat sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lapan daripada mereka ialah murid sekolah manakala seorang lagi tidak bersekolah dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Sebelum ini, tular di media sosial dua kejadian pergaduhan berasingan di sekolah yang sama memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dipercayai berlaku di dalam sebuah tandas sekolah berkenaan.

Dalam kejadian berasingan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau dekat sini pula, polis menahan lima pelajar tingkatan lima bersabit dakwaan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan.
Semua pelajar itu ditahan pada hari yang sama selepas bapa mangsa membuat laporan polis sebelum kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya