KUALA LUMPUR: Penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 jelas dilihat sebagai satu cubaan untuk membuktikan bahawa kerajaan masih kukuh selepas enam bulan membentuk kerajaan persekutuan.
Walaupun pelbagai isu dibangkitkan oleh sayap Pemuda, Puteri dan Wanita serta beberapa pemimpin utama kerajaan seperti isu ekonomi, kebajikan dan belia, ia bukanlah ‘tajuk berita utama’ dalam konvensyen ini.
Sebaliknya, kehadiran lima buah gabungan politik berbeza yang menjadi tumpuan utama di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kehadiran 19 buah parti yang mendukung kerajaan turut menjadi tumpuan termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Laungan-laungan seperti Kerajaan Perpaduan, Membina Bersama dan Malaysia Madani juga banyak mendominasi sesi-sesi sepanjang konvensyen ini.
Jelas konvensyen ini mahu menunjukkan kesemua 19 parti kerajaan terbuka dan mampu duduk semeja, sebumbung serta dalam satu dewan yang sama sebagai tanda kerajaan ini kerajaan yang bersatu padu.
Bukan itu sahaja, konvensyen ini juga adalah salah satu usaha untuk melawan arus gelombang Proklamasi Melayu yang digerakkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sama seperti yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini.
Kata beliau, rakyat boleh membuat perbandingan wajah Malaysia sebenarnya ada pada gabungan-gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan yang semakin stabil selepas tempoh enam bulan.
Konvensyen ini juga mahu menunjukkan kepada pembangkang gabungan parti kerajaan mempunyai kekuatan luar biasa untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi.
Hakikatnya, walaupun enam bulan adalah tempoh yang terlalu singkat untuk menjamin kestabilan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang, ia cukup bagi menunjukkan kesatupaduan antara kesemua parti kerajaan masih tidak dapat digugat oleh sebarang ancaman politik buat masa ini. – UTUSAN










