Kit Siang cadang kerjasama antara Kerajaan Perpaduan dengan Pas - Utusan Malaysia

Kit Siang cadang kerjasama antara Kerajaan Perpaduan dengan Pas

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan dicadangkan untuk menghulurkan tangan kerjasama dengan Pas menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau membuat cadangan berani itu dengan meletakkan syarat utama iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mesti menghentikan permusuhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjadi seorang pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab dan dihormati.

Kit Siang membuat gesaan itu dalam menyokong titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik.

“Jika Abdul Hadi boleh menjadi seorang pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab dan dihormati di Malaysia, dia perlu bersedia mengakui bahawa tersilap membuat dakwaan liar dan tidak masuk akal dan berjanji tidak mengulangi tuduhan tidak masuk akal terhadap DAP dan pada saya, tidak nampak mengapa Pas tidak boleh dijemput menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Betul kata Yang di-Pertuan Agong, Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk menjadi sebuah negara bertaraf dunia yang progresif, makmur dan dihormati. Tetapi adakah Abdul Hadi akan mengendahkan kepentingan negara dan bukannya bertindak untuk kepentingan peribadinya?” Soalnya menerusi blog beliau.

Sebelum ini, pertemuan Anwar dengan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Kota Bharu, Kelantan mencetuskan persoalan dan terdapat mengaitkan usaha itu sebagai hulur salam kerjasama antara pemimpin Kerajaan Perpaduan dengan Pas.

Malah Anwar menyatakan kerajaannya sedia bekerjasama untuk menyelesaikan masalah air dihadapi negeri diperintah Pas sejak berdekad lalu.

Menurut Kit Siang, beliau telah memberi masa yang cukup kepada Abdul Hadi untuk membuktikan pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap DAP dan dirinya sendiri, akan tetapi Ahli Parlimen Marang itu masih tidak dapat membuktikan.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Abdul Hadi menuduh DAP mempromosikan Islamophobia. Kini kira-kira enam bulan sejak dia membuat dakwaan yang tidak masuk akal itu dan walaupun saya menghadapi banyak cabaran, dia tidak dapat memberikan sedikit pun bukti untuk mengesahkan dakwaan ini.

“Islam seperti agama-agama besar di dunia, tidak mengajar pemimpin agama untuk berbohong atau menggunakan persepsi dan berita palsu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN