Keterangan Hamzah diambil atas permintaan sendiri

Keterangan Hamzah diambil atas permintaan sendiri

AHMAD Ikhwan Fadhli (tengah) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (berkaca mata hitam) menunjukkan laporan polis yang dibuat di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kelmarin atas permintaan beliau sendiri.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tindakan tersebut susulan penangguhan yang dibuat Ahli Parlimen Larut itu selepas agensi berkenaan menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah terhadap seorang ahli perniagaan membabitkan jumlah RM15 juta.

“Sebelum ini, SPRM dipercayai sudah menghantar permohonan untuk mengambil keterangan Ahli Parlimen Larut itu bagi membantu siasatan.

“Namun, pelbagai alasan diberikan sehingga beliau menyatakan kesediaan untuk diambil keterangan sebaik sahaja pendakwaan dilakukan terhadap ahli perniagaan terbabit, kelmarin,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan menegaskan, semua siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat serta bukti-bukti sahih yang diperoleh oleh suruhanjaya berkenaan.

Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan dengan penemuan elemen-elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta akta berkaitan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

Justeru, tohmahan oleh seorang bekas Menteri yang mengatakan SPRM sengaja mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan untuk mencemarkan namanya adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejaskan imej suruhanjaya berkenaan.

Dalam pada itu, Setiausaha Sulit kepada Ketua Pembangkang itu, Ahmad Ikhwan Fadhli menyifatkan pembabitan nama Hamzah dengan pertuduhan SPRM ke atas seorang ahli perniagaan, Sim Choo Thiam baru-baru sebagai berniat jahat.

Katanya, Hamzah sama sekali tidak pernah terbabit dalam apa-apa suapan dengan orang-orang yang dinamakan dalam pertuduhan tersebut.

Dakwanya, nama Ahli Parlimen Larut itu telah dimasukan secara salah dalam pertuduhan untuk memberikan gambaran beliau terkait dengan kesalahan dalam pertuduhan tersebut.

Justeru, ujar beliau, satu laporan polis dibuat pihaknya bagi membersihkan nama Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu daripada disalahgunakan.

“Selain itu, kami menggesa polis menyiasat konspirasi mana-mana pihak yang mencampuri urusan atau menekan SPRM untuk mengaibkan Setiausaha Agung Bersatu itu dalam pertuduhan di mahkamah,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, lebih banyak laporan polis berhubung kes itu akan dibuat di seluruh negara.

“Saya dan ahli Armada telah memfailkan ratusan laporan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Choo Thiam didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagi pertuduhan pertama, Sim dikatakan meminta RM15 juta daripada Hep Kim Hong pada Jun 2021 di Jalan Dutamas 1 sebagai dorongan kepada menteri dalam negeri ketika itu, Hamzah untuk membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn. Bhd. mendapatkan projek daripada kementeriannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×