PETALING JAYA: Beberapa dokumen berkaitan pengambilalihan dagangan saham dan penjualan saham melibatkan sebuah syarikat tersenarai sedang diperolehi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan suruhanjaya itu terhadap dua tokoh terkemuka negara termasuk seorang bekas menteri berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 billion.
Kesemua dokumen ini dalam tindakan untuk diperoleh SPRM daripada beberapa penama, bank, syarikat gergasi, pemaju dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk dianalisa.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, selain mendapatkan transaksi kewangan berkaitan pemilikan dan penjualan saham, SPRM juga dipercaya akan memanggil semula kedua-dua tokoh terkemuka itu dalam masa terdekat untuk melengkapkan siasatan.
“Dua tokoh terdiri tokoh perniagaan bergelar Tan Sri dan bekas menteri itu mungkin akan dipanggil semula dalam masa terdekat ini.
“Selain mereka, SPRM juga telah memanggil wakil daripada syarikat, peguam, dan auditor bagi mendapatkan dokumen yang diperlukan,” katanya di sini semalam.
Untuk rekod, Pada 2012, tokoh perniagaan itu yang juga bekas pengerusi eksekutif di syarikat tersenarai telah memfailkan saman terhadap beberapa penama termasuk kerajaan bagi menuntut semula pampasan lebih RM1.8 bilion kerana menjual kepentingannya dalam syarikat tersenarai itu.
Dalam pernyataan tuntutan itu, tokoh perniagaan itu mendakwa memiliki 372,000,000 saham berjumlah hampir 16 peratus daripada modal terbitan dan berbayar dalam syarikat tersenarai sehingga menjadikan beliau pemegang saham individu terbesar pada 2001.
Pada November 2002, syarikat tersenarai itu memegang kepentingan besar dalam modal terbitan dan berbayar sebuah syarikat gergasi negara.
Tokoh pernigaaan itu mendakwa beliau dipujuk oleh seorang penama selaku wakil kerajaan agar beliau menerima tawaran itu dan melepaskan syarikat tersenarai berkenaan.
Beliau kemudian menuntut RM1.3 billion, ganti rugi am bagi pelanggaran pemilikan syarikat tersenarai serta RM508 juta bagi nilai modal berbayar untuk penyelesaian kerugian yang dialaminya untuk menyelamatkan sebuah lagi syarikat tersenarai.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, dua tokoh terkemuka negara termasuk seorang bekas menteri kanan telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa minggu lalu berhubung penyelewengan dana negara yang bernilai lebih RM2.3 billion.
Selain dua individu berkenaan, seorang lagi taikun perniagaan juga akan dipanggil SPRM, Isnin ini, bagi membantu siasatan itu.
Sumber berkata, SPRM kini berada dalam fasa melakukan analisis kewangan terhadap pemilikan aset-aset berharga yang telah dikenal pasti oleh SPRM yang dimiliki oleh ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan di luar negara.
Siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Tumpuan siasatan SPRM berhubung penyelewengan ini adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.
Difahamkan juga transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan mata wang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk.
Justeru itu, kertas siasatan itu dibuka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Siasatan itu juga meliputi pemilikan aset-aset berharga yang telah dikenal pasti oleh SPRM yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit yang berada di dalam dan di luar negara.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesakan siasatan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001. – UTUSAN










