Kes saman fitnah Anwar-Muhyiddin mula bicara Ogos 2024

Kes saman fitnah Anwar-Muhyiddin mula bicara Ogos 2024

MUHYIDDIN YASSIN dan ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung berhubung gaji RM15 juta yang dikatakan diterima oleh Perdana Menteri itu sewaktu menjadi Penasihat Ekonomi Negeri Selangor akan mula dibicara pada Ogos 2024.

Menurut peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Ahli Parlimen Tambun selaku plaintif, tarikh tersebut ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain pada pengurusan kes itu hari ini.

Tarikh-tarikh yang ditetapkan ialah 5, 6, 7, 12, 13, 14, 26, 27 dan 28 Ogos 2024.

“Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan sebarang permohonan interlokutori selewat-lewatnya 16 Jun ini, sekiranya ada. Pengurusan kes lanjutan ditetapkan pada 21 Jun ini,” kata peguam itu.

Selain Sankara, turut hadir mewakili Anwar ialah Jaden Phoon Wai Ken manakala Muhyiddin diwakili peguam-peguam, Chetan Jethwani dan Ivy Shu.

Anwar memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung dakwaan plaintif menerima bayaran RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim, Kedah pada 5 Disember 2022.

Menurut Anwar, dakwaan itu sebagai fitnah, palsu dan memperlekehkan dirinya serta dibuat dengan niat jahat.

Plaintif antara lain mendakwa, kenyataan itu menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur mengenai penerimaan jutaan ringgit daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku penasihat ekonomi dan menipu orang ramai.

Sehubungan itu, Anwar menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Sementara itu, Muhyiddin dalam penyataan pembelaannya menyatakan, Anwar selaku ketua Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang ditimbulkan sewaktu ceramah politik.

Muhyiddin sebaliknya menegaskan, sebagai pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Anwar seharusnya menjawab pertanyaan yang ditimbulkan secara terbuka dan sepenuh hati serta menafikan sebarang dakwaan yang dibangkitkan.

Selain itu, Muhyiddin menyatakan, selaku tokoh awam dan pemimpin parti, mereka sentiasa berhadapan dengan dakwaan yang mungkin disalah nyata, disalah sebut atau diambil di luar konteks oleh media.

Sehubungan itu, Muhyiddin mendakwa, ucapannya semasa ceramah ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berunsur fitnah, sebaliknya adalah komen yang adil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN