KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kerja sosial sebagai bentuk hukuman alternatif dan tidak lagi hanya terikat kepada denda dan penjara bagi kesalahan jenayah syariah.
Itu antara syor penambahbaikan aspek hukuman yang dikemukakan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) dalam usaha memartabat dan meningkatkan Mahkamah Syariah secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Nai’im Mokhtar berkata, pelaksanaan hukuman alternatif yang kini dalam proses penelitian pihaknya itu, akan dilaksana dengan kerjasama Jabatan Penjara.
Katanya, ia selaras dengan peruntukan melalui Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461).
“Dalam hal ini, satu Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib Bagi Pesalah Syariah sudah disediakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada September 2021 sebagai rujukan bersama mahkamah Syariah negeri-negeri dan Jabatan Penjara,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PN-Sik] mengenai usaha memartabat pentadbiran Mahkamah Syariah termasuk dari segi hukuman kesalahan jenayah syariah dan pelantikan hakim syarie. – UTUSAN