Kerja sambilan lahirkan mahasiswa bertanggungjawab

Kerja sambilan lahirkan mahasiswa bertanggungjawab

Pelajar USM, Muhammad Nur Akmal Mohd. Rizal (kiri) mampu memperoleh kira-kira RM50 sehari dengan melakukan kerja penghantar makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerja sambilan ketika belajar dapat membina sifat tanggungjawab dan amanah dalam diri mahasiswa.

Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, bekerja separuh masa ketika menjadi seorang mahasiswa tidak menjadi satu masalah kepada mereka.

Katanya, ia adalah sesuatu yang baik kerana selain dapat menampung perbelanjaan seharian di universiti, ia juga membina jati diri seorang mahasiswa yang berdisiplin.

“Mahasiswa yang memilih untuk membuat kerja sambilan perlu mempunyai disiplin diri yang kuat dan menggalas bertanggungjawab yang diambil.

“Mereka perlu bijak membahagikan masa antara pekerjaan sambilan dan pembelajaran mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Abu Sofian, kebanyakan mahasiswa yang dikenalinya bekerja sambilan ketika belajar berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan dengan keputusan yang bagus dan cemerlang.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Haizzan Yahaya berkata, mahasiswa yang bekerja sambilan adalah individu yang rajin dan bertanggungjawab.

Katanya, budaya bekerja sambil belajar ini bagus kerana dapat mengajar mahasiswa menjadi individu yang bijak dalam pengurusan masa di samping mendapat pendapatan lebih semasa di universiti.

“Walaupun mereka mempunyai komitmen lain iaitu bekerja ketika belajar namun kehadiran mereka ke kuliah dan kelas tutorial tidak menjadi isu pada ketika ini.

“Tugasan-tugasan yang diberikan juga berjaya dihantar mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya

Walaupun begitu, tegas Mohd. Haizzan, beliau melarang mahasiswa menjadikan pekerjaan sambilan sebagai tanggungjawab utama berbanding belajar dengan gigih untuk kecemerlangan diri di universiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN