Kerajaan perlu jelas kenapa keputusan secara uniteral

Kerajaan perlu jelas kenapa keputusan secara uniteral

BANTAH... Keputusan kerajaan menarik rayuan kes kalimah Allah dibantah oleh sebahagian umat Islam dalam satu perhimpunan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Jumaat lalu. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjawab persoalan mengapa rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah ditarik balik secara uniteral dan senyap-senyap tanpa konsultasi pemegang taruh termasuk majlis agama Islam, mufti dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sehingga kini, tidak ada lagi penjelasan daripada kerajaan berhubung tindakan tersebut.

Jelasnya, rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah ditarik balik oleh kerajaan pada 18 April lalu, namun hanya diketahui umum pada pertengahan Mei ini.

“Tiada pengumuman daripada kerajaan melainkan setelah isu tersebut tular.

“Jika rakyat tidak tahu sehingga kini adakah isu ini dipendamkan sahaja? Hanya selepas menjadi tular, barulah perkara mengenai penambahbaikan polisi disebut oleh Perdana Menteri,” katanya.

Dakwanya, majlis agama Islam, mufti dan Majlis Raja-Raja Melayu diketepikan daripada membuat keputusan menarik balik rayuan tersebut.

Justeru, tegasnya, isu utama yang perlu diperjelaskan oleh kerajaan adalah kenapa penarikan balik rayuan dibuat secara sebelah pihak.

“Sedangkan majlis agama Islam adalah amicus curiae (teman pengadilan), mufti yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa penyalahgunaan kalimah Allah dan Majlis Raja-Raja Melayu pula menzahirkan titah mengenai kes ini dahulu, namun, diketepikan dalam membuat keputusan penarikan balik rayuan tersebut.

“Saya tidak melihat isu ini dari kaca mata politik, tetapi, kegagalan memberi penjelasan yang tuntas mengenainya memberi ramifikasi politik yang sangat besar,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, hanya terpakai untuk negeri itu dan tidak di negeri lain.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal yang juga Presiden Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (MPSWP) berkata, disebabkan keputusan uniteral oleh kerajaan tersebut, rayuan berkenaan sudah tidak boleh diteruskan lagi.

“Kita kehilangan peluang bagi membolehkan mahkamah yang lebih tinggi membuat tafsiran yang tepat terhadap perkara yang dibangkitkan oleh Mahkamah Tinggi. Ramai berduka cita dengan keputusan kerajaan ini.

“Pelbagai alasan lain diberikan beberapa pihak yang lari dari isu sebenar. Akibat dari pembatalan polisi KDN (Kementerian Dalam Negeri) pada 5 Disember 1986 yang terpakai ke seluruh negara.

“Kini kerajaan tiada punca kuasa bagi melaksanakan polisi tersebut selain daripada Enakmen Kawalan dan Pengembangan Agama Bukan Islam dalam kalangan orang Islam yang berkuatkuasa di 10 buah negeri di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×