Kerajaan perlu ambil pendekatan syarak

Kerajaan perlu ambil pendekatan syarak

BANTAH... Keputusan kerajaan menarik rayuan kes kalimah Allah dibantah oleh sebahagian umat Islam dalam satu perhimpunan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Jumaat lalu. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengambil pendekatan ‘tiada mudarat dan tidak boleh memberi mudarat’ kepada masyarakat khususnya orang Islam tanpa meminggirkan hak bukan Islam dalam isu kalimah Allah.

Memberitahu Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik dalam isu tersebut, pendekatan syarak iaitu menolak kerosakan lebih utama daripada mendatangkan kebaikan boleh digunapakai untuk menangani perkara tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata, isu kalimah Allah perlu diselesaikan secara berhikmah dengan mendapatkan pandangan semua pemegang taruh, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

“Apabila berlaku pertentangan antara kebaikan dan kerosakan dalam sesuatu perkara maka menolak kerosakan didahulukan berbanding membawa kemaslahatan.

“Sekiranya kerajaan mengambil pendekatan untuk mengekalkan kalimah Allah tidak boleh diguna oleh bukan Islam di Semenanjung kecuali Sabah dan Sarawak, maka ia bermaksud apa-apa bahan agama Kristian yang menggunakan kalimah itu, solat dan sebagainya boleh diedarkan kepada orang Islam di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, hanya terpakai untuk negeri itu dan tidak di negeri lain.

Mengulas mengenai perkara itu, Musa berkata, ia disebabkan di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai enakmen atau ordinan Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam seperti di negeri lain.

Bahkan, menurutnya Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya juga tidak mempunyai undang-undang tersebut.

“Jika itu berlaku, ia akan merisikokan orang Islam yang berada di Sabah dan Sarawak. Masyarakat Islam di sana sudah pasti tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Oleh demikian, beliau berkata, PGSM berharap kerajaan dapat mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu bahawa di Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya dan Pulau Pinang masih tidak memiliki undang-undang tersebut.

Jelasnya, ia bermaksud sebarang tindakan mengembangkan agama bukan Islam kepada orang Islam tidak boleh dikenakan tindakan.

“Kerajaan dan negeri-negeri tersebut juga perlu mengambil tindakan proaktif untuk segera membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN