Kerajaan langgar janji tiada lantikan politik?

Kerajaan langgar janji tiada lantikan politik?

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangkang mendakwa kerajaan melanggar janji untuk tidak mengamalkan lantikan ahli politik ke dalam badan-badan berkanun atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ketika pelantikan itu dilihat masih berterusan hingga kini.

Meskipun Perikatan Nasional (PN) tidak menganggapnya sebagai masalah kerana budaya lantikan politik turut berlaku semasa mentadbir kerajaan Persekutuan, namun kerajaan semasa berani mengambil risiko dengan berjanji kepada rakyat.

Sedangkan, kerajaan gabungan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedar bahawa lantikan politik sukar dielak dalam apa jua keadaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, keadaan itulah yang membezakan antara PN dan Kerajaan Perpaduan yang didominasi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kami (pembangkang) tiada masalah untuk lantikan politik ini dibuat, tetapi kerajaan ini berjanji bahawa tiada lantikan politik jika memerintah. Tetapi akhirnya, bagi mereka manifesto yang ditawar sebelum ini semua mereka langgar.

“Kami dahulu pun buat juga lantikan politik tetapi tidaklah sampai tahap berjanji. Tidak juga menjadi kesalahan dari segi protokolnya, cuma, terserah kepada rakyat untuk menilai,” kata Ahli Parlimen Beluran yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu ketika dihubungi semalam.

Kerajaan terus berdepan kontroversi selepas Perdana Menteri bersetuju melantik lima ahli politik sebagai Pengerusi Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Lima ahli politik itu ialah Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM); Aminuddin Zulkipli (ketiga-tiga dari Amanah) sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Dr. Azman Ismail (PKR) sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Sheikh Umar Bagharib Ali (DAP) sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Faiz tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika bertanding di Parlimen Tampin, diikuti Mahfuz (Pokok Sena), Azman (Kuala Kedah) dan Sheikh Umar (Ayer Hitam), manakala Aminuddin digugur dari bertanding di kerusi DUN Behrang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelantikan itu berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan dan tidak timbul isu lantikan dibuat sebagai ganjaran walaupun tewas dalam PRU15.

PH sebelum ini telah menjelaskan tidak pernah berjanji menghapuskan keseluruhan lantikan politik dalam GLC dan akan memastikan ia dibuat atas dasar merit dan profesionalisme. PH turut mendakwa ada pihak menyalah tafsir manifesto gabungan politik itu pada PRU15.

Pada November tahun lalu, Anwar menegaskan beliau tidak mahu sebarang lantikan dibuat dalam barisan Kabinet dilihat sebagai ‘ganjaran’ kepada ahli politik.

Isu lantikan politik bermula selepas kerajaan melantik bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA). Malangnya, Asyraf turut ditolak rakyat di Parlimen Gerik pada PRU15.

Selain itu, Perdana Menteri melantik semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi FELCRA dan bekas Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×