Keputusan tarik rayuan Kalimah Allah elak percanggahan

Keputusan tarik rayuan Kalimah Allah elak percanggahan ketetapan Majlis Raja-Raja

ANWAR Ibrahim ketika menjawab isu kalimah Allah di Dewan Rakyat hari ini. - IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah bertujuan untuk mengelak percanggahan dengan ketetapan Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka telah beri pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja iaitu kalimah Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung Malaysia dan kelonggaran untuk Sabah serta Sarawak.

Beliau menambah, penarikan rayuan tersebut memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik ketetapan kalimah itu selaras pandangan dan nasihat Peguam Negara.

Sehubungan itu, kata Anwar kerajaan memutuskan akan mengemas kini peraturan penggunaan kalimah itu dan kertas kerja cadangan akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai ini.

“Justeru, keputusan dibuat atas pandangan untuk perkemas. (Kalau) kita buat (teruskan rayuan), kes bangkit lagi. Kita tamatkan dengan pinda supaya tiada kes. Ini jelas satu kekuatan, apa (yang) lemahnya,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) dalam soalan tambahan meminta rasional kerajaan menarik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi kerana berpandangan tiada salah diteruskan.

Sebelum itu, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) meminta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang begitu besar implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pada minggu lalu, Anwar berkata, Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri dalam kenyataan media berkata, ia bagi menyelesaikan isu kalimah Allah secara menyeluruh dan bersepadu.

Ini berikutan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya