Kebumi Awang Askandar sebelah pusara ibu

Kebumi Awang Askandar sebelah pusara ibu

ALLAHYARHAM AWANG ASKANDAR AMPUAN YAACUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub akan dikebumikan di sebelah pusara ibunya, Allahyarhamah Dayang Fatimah Ampuan Jair di Kampung Banoni, Papar, Sabah.

Perkara itu dimaklumkan abang Awang Askandar, Awang Asim Ampuan Yaacub, 57, ketika dihubungi semalam.

Awang Asim berkata, beliau sekeluarga bersyukur kerana jenazah arwah adiknya selamat dibawa turun semalam selepas beberapa hari tertangguh akibat faktor cuaca.

Menurutnya, dia berharap urusan jenazah dapat diselesaikan dengan selamat hari ini dan segera dibawa pulang ke tanah air selepas selesai menjalani prosedur ditetapkan.

“Kami juga sudah membuat persiapan bagi proses pengebumian  jenazah dan sebaik tiba di Sabah, jenazah akan dibawa ke rumah kakak kami, Dayang Jebaidah untuk penghormatan terakhir.

“Malah, isteri Allahyarham, Siti Hafizah Abdul Hamid, 31, bersama enam anak berusia antara dua hingga 12 tahun juga sudah tiba di Sabah semalam bagi menyambut jenazah,” katanya.

Awang Asim berkata, mereka sekeluarga amat bersedih dengan pemergian arwah, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Katanya, dia sekeluarga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu termasuk kerajaan, Kementerian Luar, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kerajaan Negeri Sabah atas segala bantuan dan urusan ke atas arwah.

Allahyarham yang juga Pengarah APM Kedah adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan sebelum ini pernah berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kementerian Luar menerusi kenyataan semalam memaklumkan, jenazah Awang Askandar dijangka tiba di tanah air Sabtu ini selepas segala proses bedah siasat selesai.

Ketika ini, jenazah berada di TU Teaching Hospital, Kathmandu, Nepal dan difahamkan, proses bedah siasat dan urusan dokumentasi dijangka akan mengambil masa selama dua hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.