PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang menyiapkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mendapatkan jumlah sebenar pelarian dan pemohon suaka Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Imigresen bagi mendaftarkan pelarian itu.
Beliau berkata, mesyuarat Kabinet pada 11 April lalu menetapkan supaya KDN bertanggungjawab bagi melaksanakan pendaftaran itu.
“Malaysia tidak mempunyai angka sebenar jumlah pelarian dan pemohon suaka UNHCR di negara ini berikutan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967.
“Oleh itu kita tidak ada perkongsian data dengan UNHCR walaupun mereka mengatakan 185,760 orang pelarian dan pemohon suaka yang tinggal di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini hari ini.
Katanya, kementerian optimis Jabatan Imigresen dapat melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka kerana jabatan itu mempunyai cawangan di seluruh negara.
Saifuddin berkata, jika data sebenar itu dapat dikumpulkan maka, kerajaan boleh mempertimbang mereka untuk peluang pekerjaan pada masa depan.
“Jika kerajaan nak pertimbang peluang pekerjaan maka, tentulah ia perlu bermula dengan data. Buat masa ini, data itu dipegang UNHCR dan kerajaan tiada kerjasama perkongsian data pelarian dengan badan dunia itu,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen turut mempunyai 19 depoh tahanan yang mana ia mungkin juga menempatkan pelarian dan pemohon suaka.
Menurutnya, Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) yang dilaksanakan sebelum ini hanya dapat mendaftarkan sekitar 30,000 pelarian.
Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa UNHCR menjalankan tanggungjawab mereka terhadap pelarian dan pemohon suaka di negara ini.
Kerajaan juga mempertimbang untuk mengadakan suatu perjanjian bersama UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya tersebut dalam negara ini. – UTUSAN