KOTA KINABALU: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sedang dalam proses memperkecilkan kawasan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketika ini, Kudat dan Kota Marudu telah dikecualikan daripada kawasan perintah berkurung yang telah dilaksanakan sejak 2014 di seluruh kawasan pantai timur Sabah.
“Sekarang kita akan kecilkan kawasan iaitu Kudat dan Kota Marudu telah dikecualikan dan sekarang kita cadangkan perairan Tawau pula dikecualikan.
“Namun, bagi kawasan yang masih menjadi ‘hotspot’ kita kekalkan dahulu. Kita akan melakukan penilaian tahap risiko keselamatan dari masa ke semasa.
“Sekarang kawasan hotspot dikenalpasti adalah perairan Sandakan, Lahad Datu dan Semporna yang masih kita kategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi kerana geografinya agak dekat dengan perairan negara jiran,” katanya selepas majlis penyerahan projek pembinaan perumahan Balai Polis Inanam hari ini.
Acryl Sani berkata, daerah Tawau mungkin akan dikecualikan dalam masa terdekat dan perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat pengoperasian ESSCOM di Tawau pada Isnin.
Menurut beliau, perintah berkurung tidak boleh ditamatkan sepenuhnya biarpun sejak tiga tahun kebelakangan ini insiden penculikan untuk wang tebusan (KFR) tidak dilaporkan namun, ia tidak bererti kejadian itu tidak akan berlaku.
Beliau percaya langkah memperketatkan kawalan keselamatan dan usaha memperkasa kewaspadaan kita menjadi faktor utama kejadian seperti KFR tidak berlaku.
Justeru, pihaknya akan membuat penilaian kawasan dari masa ke semasa untuk menukar kaedah kawalan yang diperlukan.
Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, cadangan penukaran nama perintah berkurang juga turut dikemukakan untuk ditukar kepada perintah kawalan pergerakan terhad perairan.- utusan