JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran untuk menghantar ketulan ganja mampat yang disembunyikan dalam bekas biskut ke Sarawak tumpas dengan tertangkapnya dua individu di dua lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini.
Pengarah Kastam negeri, Misbahudin Parmin berkata, susulan penahanan dua lelaki itu, pihaknya berjaya merampas ganja seberat 24 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM82,874.
Menurutnya, risikan selama tiga bulan hasil maklumat Kastam Sarawak, pihaknya menyerbu pejabat syarikat penghantaran itu pada pukul 12.05 tengah hari, 11 April lalu dan merampas sembilan bungkusan yang ingin dikirim keluar.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan tersebut, kami menjumpai 10 ketulan mampat yang disyaki dadah jenis ganja yang disembunyikan dalam bekas lutsinar yang mengandungi kacang dan biskut.
“Susulan penemuan dadah itu, seorang lelaki berusia 27 tahun yang menghantar bungkusan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.
Susulan tangkapan tersebut, pihaknya turut menyerbu sebuah rumah yang dijadikan tempat untuk membungkus ganja sebelum dihantar kepada penerima dan menemukan ketulan tumbuhan mampat yang disyaki ganja dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penghuni rumah berkenaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja. Hasil serbuan di dua lokasi itu, kita telah berjaya merampas ganja seberat 24kg.
“Modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan rumah itu sebagai tempat pengedaran dadah dan membungkusnya dalam bungkusan kacang dan biskut raya bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu memiliki dadah berbahaya. – UTUSAN