Kaji semula dua RUU berkaitan tenaga boleh baharu

Kaji semula dua RUU berkaitan tenaga boleh baharu untuk kepentingan rakyat

RUU
Teresa Kok
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru mengkaji semula dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan tenaga boleh baharu (TBB) supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara terutama dalam mencapai matlamat sifar karbon pada 2050.

Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata, dua RUU tersebut adalah RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023 dan RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023.

Katanya, sepatutnya RUU itu akan memudahkan rakyat dan industri untuk beralih kepada tenaga boleh baharu dengan lebih cekap.

“Saya merasakan seperti ada percanggahan dalam pelaksanaan RUU SEDA dan RUU Tenaga Boleh Baharu ini. Cara ia dilaksanakan sekarang ialah kuota NEM (Net Eenergy Metering) dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Tetapi pelaksanaannya pula oleh SEDA.

“Ini mencetuskan kekeliruan kerana Akta Bekalan Elektrik menggunakan peraturan elektrik berasaskan sistem arus ulang alik sementara sistem solar fotovoltaik atau PV menggunakan sistem arus terus. Peraturan bekalan elektrik menjadi penghalang kepada pelaksanaan sistem solar PV secara lebih meluas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebagai contoh kata beliau, had maksimum pemasangan solar dihadkan kepada 75 peratus beban maksimum sahaja, dsedangkan itu tidak perlu dan tidak mendatangkan bahaya kepada arus terus daripada ssolar, tetapi disebabkan peraturan yang bertindih, maka ia menjadi penghalang kepada usaha untuk menggalakkan penggunaan solar secara lebih luas.

“Di satu pihak, kita menggalakkan penggunaan solar di satu pihak lagi kita menghalang. Jadi mana satu yang kita mahu?” Tanya beliau.

Katanya. begitu juga dengan syarat-syarat yang dikenakan kepada mereka yang layak untuk memasang solar ini juga menyebabkan kos pemasangan menjadi lebih tinggi.

Kerajaan juga kata beliau perlu lebih telus dari segi kapasiti grid nasional kerana pada tahun 2018 kita dimaklumkan grid hanya mampu menampung 6,000 MW tenaga boleh baharu, apabila ditolak kuasa hidro sebanyak 2,400 MW, solar hanya berbaki 3,600 MW.

“Tetapi apabila kerajaan mencadangkan untuk mengeksport tenaga solar yang kita hasilkan, secara tiba-tiba pihak industri dimaklumkan bahawa masalah itu telah diselesaikan oleh Suruhanjaya Tenaga dan MyPower dalam mesyuarat JPET.
“Sebab itu kita mohon kerajaan bagi maklumat yang lebih telus demi untuk kepentingan semua, terutama bagi memudahkan pihak industri membuat rancangan perniagaan yang sejajar dengan dasar kerajaan.

“Undang-undang yang digubalkan adalah untuk membantu memudahkan kehidupan rakyat. Tetapi jika terdapat klausa-klausa yang berlaku pertindihan dan mendatangkan masalah kepada rakyat dan pihak industri yang menyumbang kepada pembangunan dan kelestarian negara maka ia perlu diubah, ditukar atau dibuang terus.

“Kita tidak mahu ketika kita mahu membentangkan RUU untuk meminda akta ini ia menjadi seperti tikus membaiki labu. Ia bukannya lebih memudahkan rakyat berurusan sebaliknya lebih menyusahkan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Sementara itu beliau juga meminta kerajaan mengkaji semula syarat untuk syarikat-syarikat memohon geran audit tenaga yang pada tahun 2021 ia tidak habis digunakan.

Katanya geran ini telah disediakan oleh kerajaan melalui  Sustainable Energy Development Authority (SEDA) sebagai kemudahan kepada syarikat-syarikat terlibat mengaudit penggunaan tenaga.

“Bajet sebanyak RM25 juta telah disediakan untuk dimohon oleh industri yang menggunakan 100,000 KwH sebulan, di mana mereka layak mohon geran bernilai RM100,000. Bagi sektor komersial yang guna 100,000 KwH pula layak mohon geran RM60,000 untuk audit penggunaan tenaga mereka.

“Tetapi pada tahun 2021 SEDA telah pulangkan RM21 juta kepada Perbendaharaan sebab tiada syarikat yang memohon. Kenapa hanya RM3 juta sahaja digunakan? Tentu ada sesuatu yang tidak kena.

“Kini di bawah program Tourism Nexus, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPN), kita dapat laporan bahawa 2,000 buah hotel bajet yang terlibat dengan pelarasan tarif elektrik menanggung kos elektrik 15 peratus daripada kos operasi. Sedangkan daripada kajian operasi perniagaan yang cekap sepatutnya kos elektrik ini hanya lima peratus daripada kos operasi.

“Sepatutnya golongan ini yang perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan kemudahan geran audit tenaga berkenaan supaya mereka dapat mengenal pasti cara penggunaan tenaga secara cekap bagi menjimatkan kos operasi.

“Untuk itu saya meminta supaya SEDA mengkaji semula syarat permohonan geran audit tenaga ini supaya sesuai dengan sektor ekonomi yang memerlukan agar mereka yang guna jumlah elektrik yang rendah seperti hotel bajet juga layak memohon dan mendapat manfaat daripada polisi kerajaan ini.

“Apa gunanya kita gah bercakap tentang geran itu dan geran ini, tetapi rakyat susah untuk memohonnya atau hanya untuk kumpulan tertentu sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.