Kaji keperluan SPRM dalam senarai seliaan EAIC

Kaji keperluan SPRM dalam senarai seliaan EAIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: kerajaan mengkaji keperluan memasukkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai salah sebuah agensi penguatkuasaan yang disenaraikan di bawah seliaan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu antara skop penelitian jawatankuasa Pro-tem yang ditubuhkan termasuk menilai beberapa cadangan pindaan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] untuk mengukuhkan EAIC.

Beliau berkata, penubuhan Jawatankuasa Pro-tem itu antara dibincangkan dalam sesi perbincangan pengukuhan EAIC yang pertama untuk membincangkan mengenai cadangan mewujudkan badan bebas baharu bagi memantau salah laku agensi penguatkuasaan.

“Sesi perbincangan itu bertujuan meneliti secara lebih terperinci skop tugasan dan bidang kuasa EAIC bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri berkenaan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, mesyuarat berkenaan dihadiri Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan wakil daripada EAIC, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara, SPRM, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perdana Menteri.

Jelasnya, kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited dalam mewujudkan sebuah badan benar-benar bebas yang mempunyai kuasa kawalan tatatertib berkesan untuk menyemai dan meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.

“Susulan itu, jawatankuasa Pro-tem juga akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan termasuk ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan dalam masa terdekat,” ujarnya.

EAIC ditubuhkan melalui Akta 700 yang diwartakan pada 3 September 2009 dan mula berkuat kuasa pada 1 April 2011.

Pada masa ini, terdapat 21 agensi penguatkuasaan yang disenaraikan di bawah Jadual Akta 700 dan pemakaiannya kepada SPRM dikecualikan melalui peruntukan di bawah subseksyen 1(5) akta berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya