KOTA TINGGI: “Ayah, tolong!”. Demikian cerita Johari Mohd. Barjol, 50, mengenai jeritan terakhir salah seorang daripada dua anaknya sebelum lemas ketika mandi-manda bersama keluarga di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili kelmarin.
Bapa kepada enam orang anak itu memberitahu, tragedi tersebut meragut nyawa anak keempat dan kelimanya iaitu Siti Rabiah, 13, dan Siti Nursalina, 10.
Dia terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan Siti Rabiah yang menjerit memanggil namanya meminta untuk diselamatkan dan pada masa sama dia dapat melihat isterinya, Mersidita Yunos, 46, yang sudah terapung akibat pengsan manakala kelibat Siti Nursalina sudah tidak kelihatan dibawa ombak.
Menurutnya, mereka sekeluarga memang berhasrat ke pantai itu untuk beriadah menghabiskan cuti sempena Hari Pekerja.
“Sebelum itu saya pergi ke rumah ayah angkat di Tanjung Sedili dan selepas ambil anak buah kami terus ke pantai kira-kira pukul 11 pagi. Kami sempat buat barbeku. Siti Rabiah dan Siti Nursalina memang sangat rapat dan merekalah yang paling teruja bila diajak ke pantai, semasa kejadian itu merupakan kali kedua mereka turun ke laut selepas makan.
“Ketika itu ombak agak kuat dan saya sempat pesan kepada mereka agar berhati-hati. Kali kedua ke laut mereka turun berempat bersama isteri saya dan anak buah, Saleha Haron, 27,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) semalam.
Johari berkata, ketika kejadian, isterinya sempat menarik tangan kedua-dua anaknya itu manakala dia sempat menyelamatkan anak buahnya yang tidak jauh dari tempatnya duduk.
Isterinya kini dirawat di HKT kerana memerlukan bantuan pernafasan manakala anak buahnya dalam keadaan baik.
“Awalnya saya memang rasa tak sedap hati, biasanya saya akan mandi bersama mereka, tetapi, saya hanya duduk santai.
“Sudah sampai ajal anak-anak saya dan saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Jenazah dua beradik tersebut yang disembahyangkan di Masjid An Nur Kampung Batu Ampat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Ampat, Jalan Lombong di sini. – UTUSAN










