JBPM sahkan pelaku salah guna pili bomba di Kelantan dikompaun

JBPM sahkan pelaku salah guna pili bomba di Kelantan dikompaun

TANGKAP layar daripada hantaran media sosial yang tular mengenai isu sebuah lori mencuri air dari sebuah pili bomba di Kelantan ketika Hari Raya Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan pihaknya mengeluarkan kompaun dalam isu tular kecurian air pili bomba di Kelantan baru-baru ini.

Menerusi kenyataan Bahagian Pengurusan Korporatnya di sini, penalti dikeluarkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang berdasarkan siasatan JBPM negeri itu.

“Pelaku, Tuan Salehuddin Tuan Mat dikompaun menurut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu kesalahan penyalahgunaan pili bomba,” katanya.

Baru-baru ini tular kalangan pengguna media sosial tempatan mengenai foto memaparkan sebuah lori yang diupah oleh seorang ahli parlimen di Kelantan mencuri air dari pili bomba.

Kontraktor tersebut dipercayai melakukan kesalahan itu kerana hendak menyalurkan air kepada ramai penduduk yang mengalami ketiadaan bekalan sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

Isu itu mendapat perhatian Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasain turut menafikan ada menerima permohonan.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, status kes tersebut telah selesai di luar mahkamah dan pelaku mengaku salah serta membayar kompaun RM100 pada 8 Mei lalu,” katanya.

JBPM menegaskan bahawa mengikut Seksyen 26 Akta 341, ia adalah melakukan suatu kesalahan jika didapati sengaja menggunakan pili selain tujuan menentang kebakaran.

“Malah adalah salah sekiranya sesiapa menutup, mengepung atau menyembunyikan pili sehingga tempat itu sukar dipastikan atau mengganggu mana-mana pili bomba,” katanya.

Bahkan ujarnya, Seksyen 23(1) Akta 341 menerangkan bahawa tiada seorang pun selain pihak berkuasa air boleh melakukan kerja menjejaskan pili itu atau aliran air kepadanya.

Pihak berkuasa air juga kena memberikan notis bertulis berkaitan kerja dilakukan kepada Pengarah JBPM negeri sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum kerja itu boleh dimulakan.

Walau bagaimanapun, dalam situasi kecemasan pula, kerja itu boleh dilakukan terlebih dahulu tetapi notis hendaklah dikemukakan dengan segera kepada pengarah berkenaan.

Justeru kenyataan itu menambah, apa-apa kerja yang menjejaskan aliran air ke pili bomba turut perlu mendapat kelulusan dan persetujuan Pengarah JBPM negeri secara bertulis.

Ini demi memastikan operasi pemadaman tidak terjejas sekiranya berlaku sesuatu kes kebakaran kerana penyalahgunaan pil boleh mengakibatkan kekurangan isipadu dan tekanan.

“JBPM menasihatkan mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan air pili sebagai cara penyelesaian isu kekurangan bekalan di kawasan tertentu,” katanya.

Malah jelasnya lagi, jika masyarakat terdesak memerlukan bekalan air, mereka hendaklah memohon mengikut saluran ditentukan daripada pihak berkuasa air negeri terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya