PEKAN: Jarak antara rumah penduduk dengan pantai di Kampung Tanjung Batu dan Nenasi di sini hanya tinggal antara 20 ke 40 meter berikutan hakisan sejak beberapa tahun lalu.
Sebanyak 18 buah rumah penduduk di dua kawasan tersebut paling terancam dengan fenomena alam tersebut.
Situasi itu dibimbangi menenggelamkan rumah penduduk berhampiran pantai seperti berlaku kepada Kekunang Tering Chalet di Pantai Tanjung Batu yang musnah disebabkan hakisan dan ditutup sepenuhnya pada 2018.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan pantai berhampiran Kampung Tanjung Batu itu berlaku hakisan pada jarak kira-kira 200 meter, dipenuhi pokok-pokok yang tumbang dan sisa konkrit serta kayu yang musnah.
Pejabat Kekunang Tering Chalet, rumah atas pokok dan fasiliti lain yang dibina di tanah seluas 1.2 hektar di tepi Pantai Tanjung Batu musnah keseluruhannya, malah ada yang sudah hilang dibawa air pasang dan ombak deras.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Ali berkata, sememangnya penduduk yang rumahnya berhampiran pantai bimbang dengan kejadian hakisan pantai.
“Jadi apabila ada kajian Pekan antara kawasan yang akan tenggelam dan menjadi pulau pada 2050, kita di Kampung Tanjung Batu ini memang bimbang dengan situasi ini.
“Ekoran hakisan pantai makin serius sejak lima tahun lalu sehingga kini, kita di Tanjung Batu ketika ini ada kira-kira lapan biji rumah berada pada jarak 30 ke 40 meter dari pantai.
“Di Nenasi pun ada kira-kira 10 buah rumah berhampiran pantai dan paling dekat dengan pantai hanya 20 meter disebabkan hakisan yang makin serius berlaku,” katanya di sini.
Ali berharap kerajaan menyegerakan projek hakisan pantai yang dikatakan sudah pun diluluskan di Kampung Tanjung Batu di sini membabitkan jarak kira-kira 4.3 kilometer.
Menurutnya, seperti dimaklumkan, projek berkenaan yang sudah 10 tahun dinantikan penduduk di situ membabitkan jumlah peruntukan berjumlah RM58.5 juta.
“Cuma apa dibimbangi penduduk, projek hakisan pantai ini dikatakan hanya akan membina dua tembok penahan hakisan di laluan masuk ke kuala di sini.
“Kawasan pantai lain yang terhakis sepanjang 4.3 kilometer hanya diletakkan pasir. Kita merasakan ia tidak akan bertahan lama dan hanya sementara sekali gus akan membazirkan wang rakyat.
“Kita harap kerajaan mengkaji pelaksanaan projek ini supaya dapat membina dua lagi tembok penahan hakisan bagi membolehkan projek hakisan pantai sepanjang 4.3 kilometer itu berkesan sekali gus mengelak risiko kediaman penduduk berhampiran pantai turut terhakis dan tenggelam,” katanya. – UTUSAN










