Jangan letak beban pelarian kepada kerajaan, komuniti tempatan

Jangan letak beban pelarian kepada kerajaan, komuniti tempatan

AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mahu Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata terhadap kerajaan atau komuniti rakyat tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UNHCR perlu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di negara ini selaras mandat dan fungsi penubuhannya.

Beliau berkata, kerajaan menghormati mandat penubuhan, fungsi dan peranan UNHCR seperti mana yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung PBB (1949) dan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950).

“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Malaysia bukannya negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967.

“Atas prinsip-prinsip nilai kemanusiaan, Malaysia membenarkan golongan ini untuk berada sementara di dalam negara sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau pulang ke negara asal.

“Kerajaan amat mengambil berat terhadap kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan segelintir golongan pelarian dan pemohon suaka ini yang bertentangan dengan norma kehidupan, sensitiviti dan budaya setempat yang sekali gus menjejaskan keharmonian rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohonan Suaka Bil. 2/2023 di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan suatu perjanjian bersama UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab UNHCR di dalam negara selaras dengan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB (1950) tersebut.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan amat mengambil berat terhadap peningkatan ketara jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang Kad UNHCR iaitu 75,617 orang pada tahun 2009 kepada 185,760 orang pada Mac 2023.

Menurutnya, seramai 160,332 orang (86.3 peratus) daripada keseluruhan pelarian dan pemohon suaka ini adalah pelarian daripada Myanmar dan 107,433 orang (67.0 peratus) daripada pelarian Myanmar adalah etnik Rohingya, Myanmar.

“Pelarian daripada negara lain yang mempunyai signifikan ialah Pakistan (7,109 orang), Yemen (3,466 orang) Afghanistan (3,444 orang), Somalia (3,161 orang) dan Syria (3,161 orang),” katanya.

Katanya, jawatankuasa turut dimaklumkan bahawa UNHCR mendaftarkan 948 orang yang didakwa sebagai pelarian daripada Indonesia dan antara alasan yang diberikan adalah kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia, walaupun diketahui bahawa negara tersebut tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat pada hari ini turut menekankan peranan kerajaan dalam pengurusan pelarian dan pemohon suaka menerusi empat kluster penambahbaikan.

“Antaranya menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa dan pasukan petugas khas, penentuan status pelarian, penguatkuasaan undang-undang pelarian dan pemohon suaka serta pengenalan sistem sokongan sosial kepada pelarian berdaftar,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang didapati bersekongkol dengan ejen-ejen pemerdagangan manusia menyeludup masuk pelarian dan pemohon suaka ke negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya