MARAN: Sebuah jambatan konkrit bernilai kira-kira RM100 juta perlu dibina merentasi Sungai Pahang di Kampung Lubuk Paku di sini, bagi merangsang pembangunan pesat bandar Maran.
Bandar Maran secara logistik begitu strategik di laluan Kuantan-Kuala Lumpur tetapi kurang menyerlah dari segi pembangunan infrastruktur, sosial dan ekonomi seperti bandar Temerloh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd. Sofian Abd. Jalil berkata, penduduk di daerah ini yang dipisahkan oleh sungai menyebabkan mereka tidak dapat menikmati pembangunan secara menyeluruh.
“Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melalui bandar Maran dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT-1) dapat meningkatkan lagi potensi bandar Maran.
“Penduduk perlu ‘disatukan’ melalui jambatan konkrit dari Kampung Lubuk Paku yang menghubungkan dengan Kampung Kuala Wau di sempadan daerah Pekan bagi ‘menghidupkan’ kampung tradisi yang hampir pupus,” katanya di sini.
Mohd. Sofian berkata, antara faktor kampung ditinggalkan penduduk asal dan generasi baharu kerana masalah lokasi serta logistik yang terpinggir daripada arus pembangunan.
“Sebagai contoh Kampung Lubuk Paku ketinggalan dari segi pembangunan kerana lokasinya berada jauh dari jalan utama Kuantan-Temerloh.
“Bagaimanapun, kampung ini berpotensi dibangunkan semula jika sebuah jambatan baharu dibina merentasi Sungai Pahang dari Lubuk Paku ke Kampung Kuala Wau seberang sungai,” katanya.
Katanya, pembinaan jambatan Lubuk Paku akan menghubungkan kampung-kampung di Seberang Sungai Pahang dengan Bandar Maran dan laluan terdekat untuk ke Pekan serta ke Bera.
“Saya yakin jika ada jambatan ini merangsang kembali kemajuan kampung Melayu yang diancam kepupusan di seberang sungai dan kembali didiami seperti Kampung Papai, Mentenang, Kampung Sungai Duri, Kampung Melayu, Kampung Kinchir dan Kampung Salong,” katanya. – UTUSAN











