Isu kesesakan: Waktu syif di pintu masuk Johor diubah

Isu kesesakan: Waktu syif di pintu masuk Johor diubah

SAIFUDDIN Nasution Ismail diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh memeriksa perbarisan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 di Jabatan Imigresen Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal mengubah waktu syif atau tempoh giliran bekerja petugasnya di dua pintu masuk utama di Johor Bahru, Johor mulai Ahad ini sebagai usaha penambahbaikan bagi mengatasi masalah kesesakan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia antaranya meliputi Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang juga laluan sempadan kedua tersibuk di dunia selepas Amerika Syarikat-Mexico dengan 220,000 pelawat setiap hari.

BSI menghubungkan Johor dengan Woodlands, Singapura menerusi tambak dan satu lagi ialah Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tanjung Puteri melalui jambatan Linkedua.

“Waktu syif akan bertukar kepada 9 pagi hingga 6 petang, 4 petang hingga 12 tengah malam dan 12 tengah malam sehingga 9 pagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia 2022, di sini hari ini.

Sebelum ini, giliran melibatkan keseluruhan 1,600 petugas JIM di BSI dan KSB ditetapkan dari 7 pagi hingga 6 petang, 3 petang hingga 11 malam dan 11 malam hingga 8 pagi.

Mengulas lanjut, ujar Saifuddin Nasution, perubahan waktu itu tidak melibatkan pertukaran syif masa puncak dari pukul 4 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.

“Apa yang penting ialah aspek kebajikan pegawai JIM terpelihara kerana perubahan syif tidak begitu ketara kesan untuk mereka mengadaptasi waktu bekerja baharu,” katanya.

Sebagai langkah tambahan untuk mengatasi kesesakan teruk di BSI dan KSAB, seramai 100 lagi pegawai baharu gred KP19 akan ditempatkan di dua pintu ini mulai Isnin depan.

Begitu juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor yang turut akan menerima lagi 100 pegawai baharu tamat kursus Akademi Imigresen Malaysia.

Mengenai isu kesesakan pejabat pasport di kawasan tumpuan ramai, Saifuddin Nasution berkata, MyOnline Passport akan dibuat sepenuhnya di tiga cawangan di Kajang dan Kelana Jaya, Selangor dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur bermula pada 1 Jun depan.

Tiga cawangan itu ujarnya, dipilih sebagai perintis kerana didapati antara paling banyak mengeluarkan pasport di negara ini sehingga ada mencecah 800 naskhah setiap hari.

Bahkan, pejabat berkenaan terletak di kawasan yang mempunyai liputan internet amat baik termasuk kualiti 5G dan tiada alasan permohonan atas talian tidak dapat dilakukan.

“Walau bagaimanapun, pengecualian masih diberikan kepada enam golongan boleh buat pasport secara ‘walk-in’ antaranya kanak-kanak bawah umur 12 tahun, warga emas usia 60 tahun ke atas, bakal jemaah haji yang ada tawaran, orang kurang upaya dan ahli keluarga pengiring kanak-kanak.

“Selain itu ialah pelajar berumur kurang 21 tahun yang menerima tawaran bagi mereka menyambung pengajian di institusi pendidikan di luar negara,” katanya.

Setakat ini kata Saifuddin Nasution, sejumlah 2,347,493 pasport dikeluarkan dari April 2022 sehingga akhir tahun lalu setelah tamat Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.

Untuk tahun ini pula, bermula 1 Januari sehingga 12 Mei lalu, sebanyak 1,674,293 pasport sudah dikeluarkan JIM di kesemua 77 buah pejabat cawangan di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya