Isu gaji minimum pekerja akan diselesaikan segera -Anwar

Isu gaji minimum pekerja akan diselesaikan segera -Anwar

ANWAR Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas Sambutan Hari Pekerja 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu berbangkit mengenai pelaksanan gaji minimum akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, beliau mengakui pelaksanaan gaji minimum begitu sukar dan rumit untuk diselesaikan.

Menurutnya, isu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan penyelesaian sekali gus dan manfaat untuk semua.

“Saya dengar pelaksanaan gaji minimum begitu sukar sekali malah, wujud hiruk pikuk dalam konteks pelaksanaannya,” katanya ketika menyampaikan Amanat Hari Pekerja 2023 sempena sambutan Hari Pekerja 2023 di sini hari ini.

Kerajaan pada Disember lalu memutuskan untuk menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai depan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan akan berusaha memastikan kebajikan semua golongan pekerja diambil berat sepenuhnya.

“Jika tuntutan pekerja itu keterlaluan, maka pelaburan tidak akan sampai, tapi kalau sikap pelabur dan majikan terlalu mementingkan keuntungan hingga ketepikan pekerja, maka tiada harmoni dalam negara.

“Selain itu, ada ketikanya juga kerajaan perlu campur tangan antaranya melalui penyaluran insentif mengikut keperluan dan melalui kemudahan percukaian,” katanya.

Jelasnya lagi, tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam(CUEPACS) juga perlu diteliti.

Pada masa sama, Anwar turut menyelar pemimpin yang mengaut ratusan juta daripada wang negara dan menyifatkan merek sebagai tidak prihatin terhadap nasib pekerja.

“Adakah mereka bicarakan mengenai nasib pekerja? Penjawat awam? Apa yang mereka buat ini adalah zalim.

“Malah ada yang sanggup gunakan survival Melayu dan Islam bagi mempertahankan sistem dan orang yang korup,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN