Ibu pesan jaga diri, belajar rajin-raj

Ibu pesan jaga diri, belajar rajin-rajin

GAMBAR album Azriyani Abdul Latif (tiga dari kini) dan empat anaknya yang meninggal dunia (hitam putih) dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 310.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Kampar semalam. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: “Ibu pesan, jaga diri baik-baik,” kata Ahmad Danish Basyir Nasaruddin, 16.

Ahmad Danish adalah anak kepada Azriyani Abdul Latif, 45, wanita yang maut bersama empat anaknya dalam nahas membabitkan kereta dan lori muatan pasir di Kilometer 310.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi.

Menurut anak keempat daripada lapan beradik itu, pesanan tersebut diungkapkan ketika ibunya menghantarnya pulang ke asrama di Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh pada 1 Mei lalu.

Katanya, tiada perubahan sikap ditunjuk ibunya selain meminta agar dia belajar rajin-rajin dan menjaga diri.

“Kali terakhir saya jumpa ibu ketika dia hantar saya pulang ke sekolah. Sikap ibu biasa sahaja tiada perubahan pun cuma dia pesan supaya saya belajar rajin-rajin, jaga diri dan tidak membuat masalah di sekolah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Kampar di sini semalam.

Dalam nahas sekitar pukul 2 pagi semalam, abang sulung Ahmad Danish iaitu Muhammad Azib, 23, yang memandu kereta Proton Saga terkorban di lokasi kejadian bersama dua lagi adiknya, Siti Nur Aminah, 8 dan Ahmad Uwais Qorni, 5.

Seorang lagi anak Azriyani, Muhmmad Fawwaz berusia tujuh tahun pula meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tapah.

Menurut Ahmad Danish, dia mengetahui kejadian meragut nyawa ahli keluarganya itu sekitar pukul 7.30 pagi setelah dimaklumkan kakak saudaranya yang juga bersekolah di sekolah yang sama.

Katanya, ketika kejadian, ibu dan adik-beradiknya dalam perjalanan dari rumah di Kuala Kangsar ke kampung mereka di Tapah Road.

“Semasa kakak saudara be­ritahu, saya ingat dia main-main tapi apabila cikgu sendiri cakap, saya betul-betul terperanjat.

“Ibu sepatutnya bawa datuk untuk rawatan susulan di Hospital Tapah hari ini. Tidak sangka pula kejadian ini yang menimpa mereka,” katanya.

Sementara itu, suami kepada mangsa kemalangan maut itu Nasaruddin Abu Bakar, 53, berkata, dia tetap bersyukur kepada Allah S.W.T kerana diberi peluang bersama dengan insan tersayang meskipun ‘pinjaman’ itu terhenti semalam.

“Macam mana pun saya perlu reda dengan pemergian mereka. Terima kasih kepada Allah kerana bagi (pinjamkan) mereka sepanjang tempoh 24 dan 23 tahun hingga yang paling kecil lima tahun.

“Saya berdoa mereka akan ditempatkan di syurga Allah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Kampar di sini semalam.

Nasaruddin yang bertugas di syarikat penyelenggaraan infrastruktur lebuh raya di Bertam, Pulau Pinang berkata, dia mengetahui kejadian meragut nyawa isteri dan anak-anaknya itu selepas dihubungi pegawai polis sekitar pukul 5 pagi.

“Sekarang, sayalah ibu dan bapa untuk empat anak yang lain. Insya-Allah, kami akan meneruskan kehidupan dengan baik,” katanya.

Tambahnya, jenazah isteri dan empat anaknya dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam di Padang Rengas.- utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×