Hati rakyat perlu ditawan - Ka Siong

Hati rakyat perlu ditawan – Ka Siong

WEE Ka Siong (kiri) dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada jemaah haji sempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Yong Peng, Batu Pahat, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada Sabtu lalu tidak boleh dijadikan kayu ukur kejayaan kerana ianya perlu disusuli dengan cabaran lebih berat iaitu memenangi hati rakyat. 

Ahli Parlimen Yong Peng, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, peranan yang lebih mencabar ketika ini adalah menawan hati rakyat yang sudah memberi mandat kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara. 

Katanya, semua wakil rakyat Kerajaan Perpaduan perlu bekerja keras terutama sekali melakukan langkah tepat untuk membela kehidupan pengundi mereka. 

“Rintihan dan denyut nadi mereka perlu diselami dengan sebaiknya kerana dalam keadaan ketika ini rakyat akan membawa pelbagai tuntutan serta aspirasi yang diharap akan diperjuangkan oleh wakil rakyat,” katanya. 

Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Yong Peng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Yong Peng, di sini malam tadi. 

Menurut Ka Siong, jika keluhan dan denyut nadi rakyat dapat ditangani dengan baik, pasti akan memberikan impak sokongan kepada kerajaan sedia ada bukan hanya pada masa ini namun juga untuk tahun-tahun akan datang. 

Dalam pada itu, hampir 10,000 masyarakat sekitar pekan Yong Peng serta Ayer Hitam hadir dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang bermula pukul 8 sehingga 11 malam tadi. 

Pada majlis sama, seramai 18 orang jemaah haji menerima sumbangan bekalan haji daripada Ka Siong sebagai kegunaan persiapan awal sebelum menunaikan rukun Islam ke lima itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN