KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan beliau dan kementerian itu membatalkan pengecualian cukai ke atas sebuah yayasan kebajikan ketika pentadbiran 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara Mei 2018 dan Februari 2020.
Sehubungan itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan berpendirian tiada sebab mengapa beliau perlu menjelaskan tuduhan yang mengaitkannya dengan pembatalan pengecualian cukai tersebut seperti yang didakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Oleh kerana tiada pembatalan status pengecualian cukal, tiada sebab mengapa saya diwajibkan untuk menjelaskan sesualu yang tidak wujud,” katanya.
Guan Eng menyatakan demikian ketika menjawab pernyataan pembelaan Muhyiddin berhubung saman terhadap bekas Perdana Menteri atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai.
Guan Eng menjelaskan, pada 21 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberikan kenyataan di Parlimen memaklumkan beliau (Guan Eng) tidak membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan di bawah Sekayen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada yayasan tersebut.
Beliau berkata, Anwar juga menyatakan bahawa dakwaan mengenai perkara itu adalah tidak benar.
“Selanjutnya, pada 23 Mac lalu, Kementerian Kewangan melalui kenyataan akhbar mengesahkan dan mengulangi bahawa bekas Menteri Kewangan mahupun pegawainya tidak membatalkan pengecualian cukai yang diberikan kepada yayasan tersebut.
“Defendan ketika itu Menteri Dalam Negeri selepas Pillhan Raya Umum ke-14 di bawah PH dan beliau tidak membangkitkannya dan hanya menimbulkannya sekarang ketika berhadapan pertuduhan jenayah, tidak lebih daripada satu aksi politik.
“la juga percubaan terdesak untuk mengalih perhatian orang ramai daripada tuduhan jenayah dengan meletakkan kesalahan kepada saya.
“Dia mempunyai lebih daripada 33 bulan selepas kejatuhan PH pada Februari 2020 untuk mendedahkan salah laku yang didakwa,” katanya.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac lalu, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.
Katanya, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama yang diikuti pada 11 dan 12 Mac lalu di dalam Facebook miliknya dan kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.
Sementara itu, Muhyiddin dalam pembelaannya, berkata yayasan kebajikan itu tidak perlu membuat rayuan berhubung pengecualian cukai kepadanya jika ia tidak dibatalkan oleh kementerian kewangan.
Menurut Presiden Bersatu itu, beliau ternampak sepucuk surat daripada kementerian kepada seorang ahli perniagaan terkemuka sekitar tahun 2021 yang memaklumkan ia membenarkan rayuan yayasan terhadap keputusan LHDN yang tidak mengiktiraf pengecualian cukai dan keputusan mengenakan penalti.
Malah dakwa Muhyiddin, beliau juga ternampak surat itu ketika disoal siasat oleh SPRM. – UTUSAN