PETALING JAYA: German Malaysian Institute (GMI) dan syarikat penyedia kenderaan jarak jauh di bawah permukaan air, SS Rover Sdn. Bhd. (SS Rover) kini menjalinkan kerjasama bagi menerokai industri minyak dan gas pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif SS Rover Sdn. Bhd., Badrulhisham Ab. Hapidz berkata, pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) dengan Institusi Pendidikan Mara itu merangkumi aspek perkongsian pengetahuan, kepakaran dan kemudahan untuk pertumbuhan pelbagai aspek antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, kerjasama itu juga membuka peluang bukan sahaja melibatkan penempatan latihan kepada pelajar sebaliknya memberi jaminan kerja sebaik mereka menamatkan pengajian diploma di GMI.
“MoA ini juga akan memudahkan pembangunan profesional dan pembelajaran menerusi perkongsian pengetahuan dan kepakaran di antara dua pihak dalam bidang minyak dan gas.
“Ini kerana SS Rover bukan sahaja memiliki projek bawah air di negara ini malah di luar negara termasuk di Indonesia. Justeru kami memerlukan bakat baharu dalam ekosistem ROV bawah air menerusi kerjasama pendidikan yang bermula dengan latihan ROV apabila disediakan penempatan latihan industri (LI),” katanya pada majlis memeterai MoA semalam yang turut dihadiri Pengarah Urusan GMI, Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan dan Penasihat Korporat SS Rover, Safrina Zainal Abidin.
Dalam pada itu Azmi berkata, graduan GMI memenuhi permintaan di pasaran selepas hampir 100 peratus daripada mereka ditawarkan pekerjaan sebaik tamat pengajian.
Katanya, ini kerana keperluan industri ketika ini mengkehendaki graduan dengan kemahiran berteknologi tinggi yang mendedahkan pelajar GMI dengan Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).
“Apa yang pelajar pelajari adalah gambaran sebenar keperluan yang dikehendaki oleh industri atau pasaran pekerjaan semasa malah kaedah pembelajaran dan pengajaran di GMI lebih tertumpu pada aspek teknikal bagi memastikan pelajar lebih faham dengan kehendakan atau budaya seterusnya meningkatkan kompetensi mereka.
“Justeru, kami berharap perkongsian dengan SS Rover akan membuahkan hasil untuk semua pihak dan akan menyumbang pertumbuhan bagi kedua-dua syarikat pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










