Empat nelayan Indonesia dicekup seludup syabu RM1.08 juta - Utusan Malaysia

Empat nelayan Indonesia dicekup seludup syabu RM1.08 juta

Nelayan syabu
AGUS Salim Mohd. Alias (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya dalam serbuan itu, pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam, Sungai Besar, di Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Cubaan empat nelayan warga Indonesia menyeludup syabu bernilai RM1.08 juta ke negara jiran menerusi bungkusan teh Cina gagal selepas dicekup polis di sebuah jeti di Sekinchan di sini, baru-baru ini.

Kesemua lelaki yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 25 hingga 41 tahun itu diberkas ketika berada dalam sebuah bot, kira-kira pukul 10 malam sebelum dua bungkusan plastik hitam ditemukan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, penahanan itu dilakukan hasil siasatan dan risikan pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN).

“Kedua-dua plastik itu didapati mengandungi 30 bungkusan teh Cina berisi dadah disyaki syabu seberat 30 kilogram (kg).

“Kesemua dadah berkenaan dipercayai mahu diseludup keluar suspek ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, hari ini.

Jelas Agus Salim, semakan mendapati semua warga asing itu turut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

“Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 61 (c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang peniaga kedai runcit berusia antara 30 hingga 40an atas kesalahan memiliki sepucuk pistol di sekitar daerah ini, 18 Mei lalu.

“Lelaki tempatan itu memiliki pistol jenis Pietro Baretta Gardone secara tidak sah dipercayai sejak lima atau enam tahun lalu. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya