Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 5.6 peratus suku pertama tahun ini

Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan 5.6 peratus suku pertama tahun ini

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama (S1) tahun ini iaitu lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau.

Mengikut rekod negara serantau itu, Indonesia mencatat pertumbuhan 5 peratus, China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

Mengulas mengenai pertumbuhan ekonomi itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi ekonomi Malaysia pada S1 2023 disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi pertumbuhan berasaskan luas merentas semua sektor.

Kata beliau, ini terutamanya sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 7.3 peratus dan pembuatan sebanyak 3.2 peratus.

“Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi pertumbuhan negara ini menyumbang kepada sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun 2023 antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

Katanya, pertumbuhan 2023 juga lebih baik berbanding S1 2022 sebanyak 4.8 peratus. dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus (S1 2023) berbanding penguncupan 1.7 peratus pada S4 2022.

Jelas beliau, pasaran buruh terus mencatat momentum pertumbuhan pada S1 2023, mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran 3.5 peratus (S4 2022: 3.6 peratus).

Pada masa sama, katanya, kadar inflasi pada S1 2023 menyederhana kepada 3.6 peratus (S4 2022: 3.9 peratus), antaranya berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi kepenggunaan oleh kerajaan.

“Kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mac 2023 terus mencatat trend penurunan kepada 3.4 peratus (Feb 2023: 3.7 peratus), iaitu lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti UK (10.1 peratus), Filipina (7.6 peratus), Singapura (5.5 peratus), serta Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia (5 peratus),” katanya.

Selari dengan unjuran prospek pertumbuhan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, Anwar menjelaskan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menyederhana pada 2023 berikutan permintaan luar yang lebih perlahan akibat daripada perdagangan global yang semakin lemah.

Katanya, ketegangan geopolitik, tekanan harga yang tinggi dan keadaan kewangan yang lebih ketat juga akan terus menjejaskan prospek ekonomi dunia.

Sementara itu, perkembangan dalam negara seperti iklim ekstrem yang mencetus fenomena gelombang haba dan musim El Nino yang diramal bermula pada Jun ini, dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan pembinaan.

“Di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global ini, kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus – 5.0 peratus untuk 2023, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pelaksanaan langkah Belanjawan 2023.

“Kerajaan akan terus mengutamakan menangani cabaran ekonomi harian yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sambil menumpukan usaha untuk mengurangkan ketirisan dan menangani rasuah,” kata Anwar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya