Dulu Azmin pernah yakin menang, akhirnya tewas juga - Ahmad Zahid  - Utusan Malaysia

Dulu Azmin pernah yakin menang, akhirnya tewas juga – Ahmad Zahid 

AHMAD Zahid Hamidi dan Johari Abdul Ghani beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Titiwangsa dan Wilayah Persekutuan, di Kampung Baru, Kuala LUmpur. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai formula lebih sesuai yang akan diguna supaya kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat diagih mengikut kesesuaian parti-parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, formula yang akan diambil itu memandangkan asas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan PRU14 sahaja tidak boleh diguna sebagai rujukan untuk memuktamadkan kerusi-kerusi DUN.

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu tidak menjelaskan formula yang dimaksudkan dan akan menyelesaikannya secara dalaman.

Katanya, beliau mahu perbincangan mengenai agihan kerusi pilihan raya diadakan sesama gabungan dan bukannya dilakukan secara bersendirian antara parti komponen.

“Calon-calon pilihan raya belum lagi, ini soal kerusi DUN sahaja. Tetapi kami ada formula yang lebih sesuai dengan isu semasa. Nanti akan diselesai secara dalaman.

“Kita di peringkat negeri telah berbincang soal pembahagian kerusi biarpun belum muktamad, namun kerajaan yakin keputusan mengikut beberapa kesesuaian bagi kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) sendiri dan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kami rasakan bahawa asas PRU13, PRU14 sahaja tidak boleh diguna sebagai asas untuk memuktamadkan kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Dataran Pintu Gerbang, Kampung Baru, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Sementara itu, mengenai mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Datuk Onn malam ini, kata Ahmad Zahid, beberapa kata sepakat mengenai PRN di enam negeri akan dicapai termasuk penyusunan gerak kerja antara 19 parti politik dalam kerajaan.

“Beberapa kesepakatan terhadap pergerakan jentera dan beberapa penyusunan gerak kerja akan dibincang untuk dilaksana,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan selamat maju jaya susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang yakin gabungan itu dapat menawan Selangor pada PRN akan datang.

Pun begitu, katanya, bekas Ahli Parlimen Gombak itu perlu cermin diri sendiri kerana pernah berasa yakin menang Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun akhirnya tewas sehingga tidak lagi bergelar Ahli Parlimen.

“Pada PRU dulu pun beliau sangat yakin untuk menang di Gombak. Tentunya pada PRN Selangor nanti, beliau mempunyai keyakinan tinggi. Pada hemat saya, Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan pada peringkat Pusat dan bagaimana hubungan terjalin di Selangor, pasti menjadi satu game changer yang akan diterjemah dalam pilihan raya ini,” katanya.

Semalam media melaporkan, PN yakin mampu memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Selangor yang akan diadakan tahun ini.

Azmin berkata, ia hasil penelitian pihaknya berdasarkan data yang diwarta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam PRU15 sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya