Dua maut nahas antara penuntut terbaik Politeknik Muadzam Shah

Dua maut nahas antara penuntut terbaik Politeknik Muadzam Shah

NORSYAHIRA Rahmat (kiri) dan Chen Pui Xia yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Kedua-dua pelajar Politeknik Muadzam Shah, Pahang, Norsyahira Rahmat, 23, dan Chen Pui Xia, 22, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Bahau-Keratong, di sini petang kelmarin adalah antara pelajar terbaik di institut pengajian berkenaan.

Rakan mereka, Nurul Aida Zainol Razak, 20, berkata, kedua-dua mangsa termasuk seorang lagi yang cedera, Nur Syafikah Shuib, 21, sering menduduki tempat tiga teratas dalam setiap kolokium di politeknik tersebut.

Katanya, kali terakhir dia bertemu Norsyahira adalah sehari sebelum kejadian dan mangsa memaklumkan mahu ke Selangor untuk mengambil bahan cetak bagi projek akhir pembelajarannya.

“Ketiga-tiga mereka dijadual membentangkan tugasan akhir individu mereka Isnin dalam bengkel komunikasi visual. Lazimnya semua dapat tempat pertama dalam bidang masing-masing.

“Norsyahira mengkhususkan tugasan kepada pengiklanan, Pui Xia kepada identiti korporat manakala Syafikah pula dalam pembungkusan produk.

“Saya memang rapat dengan Norsyahira dan sentiasa melihat perkembangannya di media sosial. Dia sememangnya amat dikenali di politeknik kerana bukan hanya baik malah bijak dan cantik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Jempol, di sini semalam.

Terdahulu, dua pelajar wanita Politeknik Muadzam Shah dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 33 Jalan Bahau-Keratong, berhampiran stesen minyak Felda Palong 16.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kereta yang dinaiki pelajar politeknik berkenaan adalah kenderaan yang disewa di sekitar Muadzam dan difahamkan kesemuanya dalam perjalanan pulang ke politeknik tersebut dari Selangor.

Sementara itu, bapa Norsyahira, Rahmat Mahat, 66, menyifatkan anak bongsunya itu sebagai seorang yang manja dan peramah.

“Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia menyambung pelajaran di Kolej Komuniti Jasin dalam bidang multimedia pengiklanan.

“Kemudian Norsyahira menyambung pelajaran di peringkat diploma di Politeknik Muadzam Shah dalam bidang yang sama dan setiap semester dia mendapat keputusan Purata Nilai Gred (GPA) 3.8 ke atas.

“Norsyahira dan dua lagi rakannya itu asalahpelajar terbaik di politeknik. Ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang dari rumah saya ke politeknik mereka selepas menyelesaikan urusan mengambil barangan yang dicetak di Selangor bagi tugasan tahun akhir individu masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN