Dua anggota trafik Bukit Aman dituduh rasuah - Utusan Malaysia

Dua anggota trafik Bukit Aman dituduh rasuah

Trafik rasuah
MUHAMMAD Nazmi Baharum, 33, (belakang, kiri) dan Mohammad Alqayyum Hasim,30, (depan) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dua pertuduhan rasuah, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cubaan meminta RM3,000 dan menerima RM900 pada tiga tahun lalu oleh dua anggota polis trafik berpangkat Lans Koperal dari Ibu pejabat Polis Bukit Aman membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Baharum, 33, dan Mohammad Alqayyum Hasim,30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, mereka yang bertugas sebagai anggota polis trafik di Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Siasasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur dengan niat bersama meminta suapan wang tunai RM3,000 dan menerima RM900 daripada seorang lelaki berusia 27 tahun. 

Tindakan tersebut didakwa sebagai dorongan tidak menangkap lelaki terbabit yang mempunyai tiga waran tangkap atas kesalahan trafik. 

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 3.30 dan 4 petang masing-masing di bawah jejambat berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk) dan perhentian bas berhampiran stesen minyak di Balakong pada 3 Oktober 2020.

Justeru mereka didakwa mengikut Seskyen 16 (a) (B) dan 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua tertuduh bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Sementara kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan Muhammad Nazmi memaklumkan telah menghantar surat peletakkan jawatannya pada Mac lalu. 

Mahkamah kemudiannya membenarkan semua cadangan termasuk syarat tambahan daripada pihak pendakwaan sebelum menetapkan sebutan semula pada 13 Julai depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya